Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Pengundi muda akan pilih gabungan tawar MB berani tongkah Putrajaya'

Pengundi muda terus menjadi prospek penting yang dilihat mampu menjadi faktor penentu kemenangan dalam PRN Johor yang akan berlangsung 12 Mac nanti.

Jika dalam PRU14, segmen ini sering dikaitkan dengan trend anti-establishment (menolak pihak yang memegang kuasa) yang menebal sehingga menjadi antara faktor tumbangnya Umno-BN buat julung-julung kali sebagai pemerintah, apakah sentimen sama bakal diperhatikan di Johor?

Menurut penganalisis politik Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, untuk mengukur trend berkenaan di Johor bukanlah mudah.

Azmi berkata ini kerana selepas PRU14, terdapat tiga entiti yang pernah menerajui kerajaan negeri - PH, Perikatan Nasional (PN) dan BN - menyebabkan garis pemisah antara pihak memegang kuasa dan pembangkang menjadi kabur.

Sebaliknya, dia menjangkakan trend pengundi muda Johor akan mengikut apa yang dilihat di Sarawak dalam PRN negeri berkenaan, iaitu keberanian untuk menongkah Putrajaya.

Pengundi muda, kata Azmi, akan cenderung memilih gabungan yang menawarkan calon menteri besar yang dilihat berani untuk berbeza pendirian dengan kerajaan pusat.

Dia membangkitkan konsep "Bangsa Johor" yang menurutnya unik untuk negeri itu dan tidak kelihatan sangat di negeri-negeri lain di semenanjung.

“Johor itu agak unik, kerana mereka melihat (diri mereka sebagai) Bangsa Johor yang mementingkan kepentingan negeri sendiri. Pengundi akan mengundi (berdasarkan) apabila mereka tahu siapa (calon) menteri besar.

“Kriteria yang mesti ada pada calon menteri besar, yang pertamanya, mempunyai hubungan yang baik dengan istana. Kedua, menteri besar mesti berani menongkah arus Putrajaya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam PRU14, Johor yang sebelum itu merupakan kubu kuat Umno berjaya ditawan PH (2018) Namun, susulan Langkah Sheraton, pentadbiran negeri itu diketuai PN pada 2019, sebelum akhirnya bertukar tangan kepada BN setahun kemudian.

PN (yang dianggotai Bersatu dan PAS bersama parti lain) dan BN mempunyai hubungan yang rumit. Kedua-duanya bergeseran secara terbuka namun masih bersekutu dalam pentadbiran pusat dan beberapa negeri, termasuk di Johor.

Di Johor sendiri, kerajaan negeri berdiri hasil gabungan Umno (14 kerusi), Bersatu (11 kerusi), MIC (dua kerusi) dan PAS (satu kerusi), menjadikan keseluruhan 28 kerusi di bawah teraju menteri besar dari Umno Hasni Mohammad, berbanding 27 dimiliki PH.

Satu kerusi kosong ekoran kematian Adun Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

'Golongan muda juga ingin kerajaan stabil'

Meskipun Umno-BN merupakan teraju utama kerajaan negeri, bagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaie Hamil, tindak-tanduk parti itu dilihat pengundi seolah-olah mereka adalah pembangkang, menjadikannya menyerlah di mata pengundi muda.

“Trend pengundi muda di Johor, mereka melihat Umno itu sebagai pembangkang yang akan mereka berikan undi kerana kalau kita lihat, Umno telah pun putus hubungan dengan Bersatu dan boleh kata putus jugalah hubungan dengan PAS yang hanya ada satu kerusi.

“Saya melihat trend pengundi muda akan mengundi ‘pembangkang’ untuk menggantikan gabungan yang tidak stabil di Johor, walaupun menteri besarnya adalah Umno, tetapi kerajaan negeri keseluruhannya bukanlah Umno.

“Jadi mereka akan memberi undi kepada Umno-BN dalam PRN Johor ini untuk menang besar di Johor supaya dapat menjadi kerajaan yang stabil. Itu saya lihat trend pengundi muda yang hampir sama dengan trend pengundi (menyokong pembangkang) pada PRU14 lalu,” katanya kepada Malaysiakini.

Bersandarkan tanggapan itu, Jamaie menjangka keputusan PRN Johor tidak akan jauh berbeza dengan di Melaka pada November lalu.

Dr Jamaie Hamil

Menurutnya, golongan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun turut berkongsi keinginan untuk sebuah kerajaan stabil yang tidak boleh digugat untuk jangka panjang.

“Ketidakstabilan masa lalu, selepas PRU14 di Johor, kalau boleh mereka tak mahu ulang lagi.

Maknanya untuk tempoh lima tahun akan datang, kalau boleh mereka perlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mereka boleh terlibat dalam sama-sama mendapat manfaat di Johor.

"Saya tak fikir Umno hanya menang (majoriti) lebih dua atau tiga kerusi saja walaupun dengan adanya Undi 18," katanya lagi.

Pengundi muda umumnya ialah mereka yang berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun.

Pun begitu, Johor dijangka menyaksikan pertambahan 750,000 pengundi baru berusia 18 hingga 20 tahun, ekoran pelaksanaan Undi18, iaitu peningkatan hampir 30 peratus berbanding pengundi sedia ada secara automatik.