'Kecelaruan pengurusan pekerja, perniagaan kecil halang ekonomi pulih'
Pemulihan ekonomi Malaysia akan terus terhalang melainkan kerajaan menangani kecelaruan dalam usaha berhubung pengurusan pekerja dan perniagaan kecil, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Maria menyebut angka daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) bahawa lebih 600,000 pekerja asing diperlukan tahun ini bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja yang teruk dan untuk membawa perniagaan kembali ke tahap sebelum penularan Covid-19.
"Kita masih belum keluar dari bahaya dalam membina semula ekonomi kita walaupun menteri mendakwa ekonomi kita akan pulih tidak lama lagi.
"Sekiranya usaha bercelaru diteruskan dalam pengurusan pekerja dan industri PKS (perusahaan kecil dan sederhana), kita tidak akan melihat ekonomi kita berkembang tetapi sarat dengan lebih banyak cabaran, terutama dalam kekurangan pekerja yang baik dan relevan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kekosongan untuk buruh kasar tidak diisi oleh pekerja tempatan ekoran gaji minimum yang rendah dan ketidakpadanan antara kemahiran dan keperluan industri, kata Maria.
Pada masa sama, katanya lagi, pengambilan pekerja asing memerlukan pengurusan yang sistematik dan profesional antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan kementerian lain yang berkaitan.
"Nampaknya tiada pandangan jauh strategik dalam perancangan sumber manusia.
"Setiap kementerian bekerja secara berasingan dan dengan pandangan yang sempit membina portfolio mereka sendiri.
"KDN paling tidak menyokong isu pekerja asing dan telah membina sekatan-sekatan imigresen yang menghalang kemasukan pekerja asing," katanya lagi.
Malaysia baru-baru ini membuka semula permohonan pengambilan pekerja asing dalam sektor terpilih, di tengah-tengah rundingan dua hala yang sedang berlangsung dengan Bangladesh dan Indonesia untuk syarat pengambilan baharu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai