Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muda: Kami nak kuatkan pembangkang, bukan mengacau

PRN JOHOR | Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam pilihan raya di kali ini bukanlah untuk menjadi pengacau sebaliknya mahu menjadi sebahagian daripada kekuatan kepada blok pembangkang.

Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz berkata sebagai pembangkang setiap parti perlu bersama kerana mereka mempunyai matlamat yang sama.

Katanya sama seperti pembangkang lain Muda mahu mengembalikan semula mandat yang diberikan rakyat pada 2018 melalui pilihan raya umum lalu, iaitu Pakatan Harapan (PH).

"Muda ingin menjadi sumber kekuatan kepada kawan-kawan dalam blok pembangkang, bukannya pengacau,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas hubungan tegang dalam kalangan pembangkang ekoran isu pengagihan kerusi dalam kalangan ahli PH serta parti pembangkang lain.

Terdahulu, beberapa pemimpin PKR menyatakan rasa tidak puas hati mereka apabila Amanah menyerahkan kerusi mereka - Puteri Wangsa - untuk ditandingi Muda.

Di atas kertas, kerusi tersebut dianggap sebagai sangat berpotensi untuk dimenangi pembangkang.

Bertanding untuk menang

Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis, antara yang terkedepan menyatakan rasa kecewa dengan percaturan tersebut. Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin, pula menyatakan kerusi tersebut sepatutnya ditandingi Napsiah.

Malam tadi Napsiah menggunakan media sosial untuk mendedahkan bagaimana dia 'terganggu' apabila ada pemimpin Muda sering menghubunginya untuk mendapatkan nasihat.

Mengikut kerusi Puteri Wangsa itu memang diingini mereka dan Napsiah sudah dipersiapkan sebagai calon di situ.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin, pula menyifatkan Muda biadab kerana "membawa politik kotor" dan menggesa PKR memutuskan kerjasama dengan parti itu.

Amira berkata oleh kerana Muda mahu menyumbang kekuatan kepada blok pembangkang justeru mereka mengadakan perbincangan bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

“Saya harap perkara ini disambut baik oleh semua kawan-kawan di blok pembangkang kerana akhirnya kita bertanding bukan hanya untuk mendapatkan kerusi tetapi untuk menang dan masuk ke dewan undangan negeri (DUN) serta memberikan yang terbaik kepada rakyat Johor.

“Saya harap semangat ini patut kita sambut bersama,” katanya.

Amanah dan DAP mencapai persetujuan dengan Muda

Jelas Amira, Muda juga sangat berterima kasih kepada parti DAP dan Amanah yang telah bersama memuktamadkan keputusan pengagihan kerusi baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, Muda tetap berterima kasih kepada PKR yang masih lagi dalam proses rundingan.

Mengulas mengenai jangkaan bila keputusan pengagihan kerusi itu dimuktamadkan, Amira berkata ia tidak dapat dipastikan.

"Sebab kita tahu bahawa politik ini sangat fleksibel dan hingga ke saat-saat akhir pun mungkin akan ada perubahan.

“Tetapi apa yang saya boleh katakan ialah Muda memang menyertai rundingan itu dengan harapan ada keputusan yang baik sebab ini adalah pilihan raya pertama Muda.

"Kami ingin membuktikan bahawa Muda ditubuhkan memang untuk membela nasib rakyat, untuk memberikan contoh politik khidmat, politik dasar yang bagus, bukan menjadi pengacau kepada parti sedia ada,” katanya.

Bukan berniat jahat

Diminta mengulas bagaimana Muda mahu mengatasi protes berterusan daripada PKR, Amira berkata, Muda adalah sebuah parti yang baru, justeru banyak yang perlu dipelajarinya.

“Muda kena belajar dengan cepat. Kami juga tidak malu dan tidak rasa terkilan sekiranya mengaku jika ada kesalahan daripada pihak kami.

"Sebab itulah walaupun Muda kena kutuk sebab minta maaf apabila buat salah, tidak apa, kerana bagi saya apabila kita nak belajar sesuatu, kita tidak boleh sombong.

"Apa yang penting, apabila perkara-perkara itu berlaku ia bukan berniat jahat... kami betul-betul minta maaf.

“Tetapi jika ada saja yang berniat jahat, kami siasat dan ambil tindakan disiplin seperti kenyataan dibuat ketua penerangan Muda baru-baru ini,” tambahnya.

Napsiah Khamis

Sementara itu, mengulas dakwaan Napsiah bahawa Muda tidak memiliki jentera bagi menghadapi PRN Johor, Amira menafikannya.

Katanya Muda memang mempunyai jentera sendiri dan keperluan lain. Cuma tambah Amira, Muda tidak mahu kelihatan seperti angkuh sehingga berasa tidak perlukan langsung bantuan daripada parti lain.

"Sebab itulah Muda berhubung (dengan parti lain) agar kami dapat membina jalinan yang baik.

“Muda Johor sudah bergerak lama, sejak dua tahun lalu dan kebanyakan daripada kami juga merupakan orang Johor,” katanya.

Justeru, tambah Amira dia berharap Muda dapat diterima baik rakan parti pembangkang untuk berdepan PRN Johor kali ini.

Katanya untuk seketika semua parti pembangkang diharap dapat mengetepikan sementara emosi agar tumpuan penuh boleh diberi kepada PRN Johor.

“Saya juga dengan ikhlas mengharapkan PKR dapat menerima Muda dan bersama kami menghadapi PRN Johor,” katanya.