Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Syura PAS teliti kedudukan Khairuddin

Majlis Syura PAS akan meneliti kedudukan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai setiausahanya.

"Sebenarnya saya belum buat keputusan lagi, cuma berunding dengan kawan-kawan (dalam majlis syura). Setakat sekarang dia sudah ditarik (jawatan sebagai) anggota majlis syura daripada ahli jawatankuasa PAS pusat.

"Perlembagaan parti, setiausaha dilantik oleh Mursyidul Am. (Tetapi) Bagaimana nak lantik kalau bukan ahli majlis syura.

"Sekarang dalam perbincangan majlis syura, tetapi kalau sudah digugurkan (anggota majlis Syura), faham-fahamlah," kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin kepada Malaysiakini.

Majlis Syura, badan tertinggi pembuat dasar dalam PAS selepas muktamar, diketuai oleh Hashim sebagai mursyidul am.

Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan Khairuddin yang juga bekas menteri digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS berkuat kuasa semalam.

Abdul Hadi berkata, jawatan itu terbatal kerana jawatankuasa pusat PAS membatalkan pelantikannya sebagai anggota majlis syura.

Khairuddin kongsi perlembagaan PAS

Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai penggugurannya sebagai anggota majlis syura.

Sebaliknya dia hanya menghantar petikan mengenai perlembagaan PAS khususnya mengenai tatacara perlantikan dan pemecatan setiausaha majlis Syura.

Mohd Khairuddin Aman Razali

Berdasarkan Perlembagaan PAS, Fasal 8 menyatakan setiausaha Majlis Syura hendaklah dilantik oleh mursyidul am dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura.

Khairuddin juga berkongsi fasal yang menyebut bahawa lantikan itu haruslah selama lima tahun dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura.

Dia juga berkongsi fasal 91 bahawa sebarang perkara berbangkit dan perselisihan 

faham berkaitan perlembagaan PAS hendaklah  dirujuk kepada Majlis Syura - yang keputusannya adalah muktamad, jika tidak diubah oleh muktamar.