Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Undang-undang antilompat parti sekat wakil rakyat saja, bukan parti?

Cadangan kerajaan mengenai undang-undang untuk menyekat ahli parlimen daripada berpaling tadah mungkin tidak menghalang parti politik daripada bertukar taat setia.

Perkara ini dikongsi ahli parlimen yang menghadiri sesi perjumpaan dengan menteri undang-undang Wan Junaidi Wan Ahmad sejak dua hari lalu.

Beberapa ahli parlimen yang menghadiri sesi itu berkata bahawa konsep asas tentang cadangan "rang undang-undang antilompat parti" itu hampir serupa dengan peruntukan sedia ada di Pulau Pinang.

Pada 2012, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang memperkenalkan Perkara 14A.

Perkara 14A menyatakan bahawa ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia meletakkan jawatan, dipecat daripada parti atau tidak lagi menjadi ahli parti yang dia dipilih sebagai calon parti politik.

"Dalam erti kata lain, jika saya menyertai parti lain, saya kehilangan kerusi saya. Jika ahli parlimen dipilih sebagai calon bebas tetapi menyertai parti lain, maka dia perlu mengosongkan kerusi itu," kata seorang ahli parlimen yang menghadiri mesyuarat itu.

Peruntukan di Pulau Pinang menyerupai Perkara 46(2)(b) Perlembagaan Persekutuan Singapura yang berbunyi: "(Kerusi Ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong) — jika dia berhenti menjadi ahli, atau dipecat atau meletakkan jawatan daripada parti politik yang dia bertanding dalam pilihan raya."

Walaupun perundangan itu telah wujud sejak 2012 di Pulau Pinang, ia tidak boleh digunakan kerana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan berpersatuan.

Wan Junaidi dan wakil Jabatan Peguam Negara telah menjalankan beberapa siri perbincangan dengan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Tidak meliputi senario parti tukar gabungan

Bagaimanapun, pendirian kerajaan buat masa ini ialah undang-undang tidak perlu meliputi senario di mana parti politik bertukar gabungan.

Tindakan parti politik menukar gabungan berlaku beberapa kali sebelum ini. Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar daripada BN pada 1990 dan Parti Progresif Sabah (Sapp) pada 2008. Pada 2020, Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu dengan parti pembangkang ketika itu.

Sekiranya kerajaan mengikut model Pulau Pinang, ia juga akan meletakkan kepimpinan parti untuk mana-mana ahli parlimen pada kedudukan yang sangat berkuasa kerana mereka akan dapat memaksa pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

"Sesi perjumpaan itu adalah untuk wakil rakyat bertanya apa yang dimaksudkan dengan 'antilompat parti'. Ia membuatkan kami meneliti pelbagai senario yang telah berlaku atau boleh berlaku," kata seorang lagi ahli parlimen.

Ahli parlimen yang dihubungi Malaysiakini secara umum tidak menyukai model "pilihan raya pecat". Penyokong kuat model "pilihan raya pecat" ialah Azalina Said Othman (BN-Penggerang) dan ahli akademik Wong Chin Huat.

Wong telah berhujah bahawa undang-undang yang serupa dengan model Pulau Pinang mempunyai kelemahan. Ia akan menghalang ahli parlimen daripada mengundi menentang pendirian parti, yang kadangkala diterima di kebanyakan negara demokrasi. Ia juga akan menghalang ahli parlimen daripada berpegang kepada gabungan sekiranya partinya memutuskan untuk keluar.

Walau bagaimanapun, kerana sistem "pilihan raya pecat" secara amnya menetapkan "proses memecat" wakil rakyat melalui suara popular, sesetengah ahli parlimen percaya bahawa sistem itu terbuka kepada penyalahgunaan, seperti yang dilihat di Taiwan.

Difahamkan draf rang undang-undang itu belum siap dan maklum balas daripada sesi perjumpaan perlu melalui kelulusan kabinet sebelum bahagian penggubalan Pejabat Peguam Negara boleh teruskan.

Beberapa ahli parlimen memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan akan berdepan kesukaran bukan saja bagi meyakinkan ahli parlimen untuk mengundi rang undang-undang itu, tetapi juga untuk memenuhi perjanjian keyakinan-dan-perbekalan (CSA) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH.

Terdapat berpuluh-puluh ahli parlimen yang telah bertukar parti sejak 2018 dan mereka perlu meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan agar undang-undang "antilompat parti" berkuat kuasa.

Pelulusan rang undang-undang pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat (147 daripada 222).

"Akhirnya, kerajaan perlu membuat rang undang-undang yang sebenarnya ingin diundi oleh ahli parlimen," kata seorang ahli parlimen.

Ada kemajuan

Undang-undang "antilompat parti" adalah kunci utama CSA. Sejak 2018, selain kerajaan persekutuan, kerajaan negeri di Kedah, Perak dan Melaka telah bertukar tangan akibat wakil rakyat lompat parti.

Dalam kenyataan akhbar semalam, majlis presiden PH mengakui bahawa terdapat kemajuan yang dicapai dalam undang-undang "antilompat parti".

Majlis preside PH juga mengingatkan kerajaan bahawa di bawah terma CSA, rang undang-undang itu mesti diluluskan oleh Dewan Rakyat selewat-lewatnya 24 Mac.

Jawatankuasa yang terdiri daripada 10 ahli memantau kemajuan CSA. Wakil kerajaan ialah Wan Junaidi (GPS-Santubong), Annuar Musa (BN-Ketereh), Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Hamzah Zainudin (PN-Larut) and Tengku Zafrul Abdul Aziz (Bebas).

PH diwakili Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim-Bandar Baharu), Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Anthony Loke (DAP-Seremban).

Wan Junaidi turut mempengerusikan dua mesyuarat jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Peguam Negara dan Ahli Parlimen yang mempunyai latar belakang undang-undang pada 25 Jan dan 31 Jan.

Sumber berkata, kerajaan menyasarkan untuk membentangkan rang undang-undang itu pada 21 Mac dan undang-undang itu diwartakan menjelang Mei.