Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SU Agung PBM sasar bertanding di KL pada PRU15

Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM) Nor Hizwan Ahmad meyasarkan atu daripada lima kerusi Parlimen di Kuala Lumpur pada PRU15.

Memetik laporan The Malaysian Insight, bekas ahli PKR itu berkata lima kerusi berkenaan pada masa ini dipegang PKR.

“Sasaran saya ialah kerusi berbilang kaum di Wilayah Persekutuan.

“Jadi, kita boleh kecilkan skop kepada kerusi yang ditandingi PKR. Kita ada Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Batu,” katanya seperti dipetik.

Nor Hizwan sebelum ini menjadi setiausaha politik Zuraida Kamaruddin ketika dia menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Zuraida adalah antara pemimpin PKR yang berpaling tadah kepada Bersatu dan mencetuskan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Mengulas lanjut, Hizwan berkata PBM ingin memberi cabaran kepada PH dan menyifatkan pergeseran dalam gabungan itu akan memberi kelebihan kepada mereka.

“PH mungkin ada banyak undi tetapi kerana mereka goyah, di mana-mana sahaja (kerjasama mereka) goyah, maka ada peluang dan keadaan boleh bertukar arah.

“Saya akan buatkan PKR dan DAP susah untuk menang,” katanya lagi.

Katanya lagi, PBM juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik lain, sambil mengekalkan sokongan kepada kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Awal tahun ini, PBM dilaporkan sedang meneroka kemungkinan menyertai BN bagi menhadapi PRU ke-15, bagi mengisi peranan sebagai parti berbilang kaum.