Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Buka sempadan negara: Pakar ingatkan jangan ikut 'kaedah Eropah'

Cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) agar pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal bulan depan membangkitkan kebimbangan beberapa pakar wabak.

Mereka mengingatkan yang tindakan itu di tengah penularan varian Omicron akan membawa kepada peningkatan kes positif yang mungkin sukar dihadapi sistem kesihatan negara.

“Saya tak fikir sempadan negara perlu dibuka sepenuhnya pada awal Mac, memandangkan varian Omicron dijangka mencapai kemuncak pada tengah bulan itu.

“Sempadan hanya patut dibuka selepas jangkitan Omicron melandai untuk tidak terus membebankan tenaga penjagaan kesihatan kita,” kata Dr Moy Foong Ming ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Moy adalah profesor epidemiologi di Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Dua hari lalu, Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata majlis itu mencadangkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini kepada semua negara tanpa keperluan untuk pengunjung menjalani kuarantin wajib.

Pengunjung bagaimanapun perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan ketika tiba di negara ini, menurutnya.

Dia berkata syor itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Namun, Moy berkata langkah itu - walaupun berhasrat membantu pemulihan ekonomi - mungkin membawa lebih banyak keburukan jika berlaku peningkatan kes positif.

Katanya, jika pelancong menularkan varian tersebut di negara ini, ia boleh menjejaskan sektor ekonomi.

Pengulangan kesilapan lalu

Penyelidik kesihatan awam Dr Lim Chee Han pula menyifatkan cadangan itu menggunakan “cara Eropah” dalam isu kawalan sempadan.

Dia mengingatkan negara mungkin “membayar harga mahal” jika hanya bergantung kepada ujian saringan tanpa mengenakan syarat kuarantin kepada pelancong. 

“Bila agaknya mereka akan faham yang kesihatan begitu berharga? Jika orang benar-benar masih mahu datang atau pulang ke Malaysia, kuarantin mereka sekurang-kurangnya lima hari.

“Jika kerajaan mahu lakukan seperti kaedah Eropah, maka bersedia untuk berdepan kesusahan seperi sistem kesihatan (Eropah) dan bayar kos sosial,” katanya lagi.

Dr Lim Chee Han

Katanya, membuka sempadan negara di tengah penularan Omicron juga boleh membawa negara kepada pengulangan apa yang berlaku pada Disember 2021.

Ketika itu, berlaku peningkatan kes selepas kerajaan memutuskan untuk membatalkan sekatan perjalanan antara negeri - keputusan yang disifatkan Lim sebagai “pramatang”.

“Langkah itu juga tidak bijak kerana ia menggalakkan anggota keluarga di luar negara untuk pulang, di saat risiko mungkin lebih besar di sini.

“Pada masa sama, banyak kes Omicron sebenarnya kes import. Langkah buka sempadan bermakna kerajaan sedia untuk membiarkan jangkitan varian itu semakin banyak dan mendominasi penularan tempatan.

“Saya tidak begitu pasti sejauh mana keberkesanan ujian PCR untuk menghalang lebih banyak kes import seumpama itu,” katanya lagi.

[Baca berita asal]