Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penahanan bekas diplomat Bangladesh dibuat ikut undang-undang

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Mohammed Khairuzzaman kini ditahan pihak berkuasa negara ini.

Tanpa mendedahkan Mohammed Khairuzzaman ditahan atas kesalahan apa, Hamzah berkata penahanan itu dilakukan mengikut prosedur perundangan sedia ada.

“Segala apa berlaku adalah mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita akan tangkap.

“Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan semua dilakukan mengikut prosedur,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, di Putrajaya hari ini.

Hamzah diminta mengulas penahanan Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan media antarabangsa hari ini.

Menurut laporan media, Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan tinggal di Malaysia sebagai pelarian ditahan di rumahnya di Ampang semalam dan dijangka dihantar pulang ke Bangladesh.

Sementara itu, mengulas desas-desus dua menteri daripada Bersatu mahu menyertai Umno semula, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu menyifatkan spekulasi tersebut sebagai perang psikologi (psychological warfare) sahaja.

“Kalau khabar angin jangan percaya dan kalau surat layang lagi jangan percaya… Kalau diumum daripada orang yang betul nak keluar (Bersatu)… percayalah,” katanya.

Hamzah berkata ‘psychological warfare’ itu sengaja diwujudkan oleh orang politik untuk kepentingan parti masing-masing terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Ini biasa berlaku… mengapa berlaku bila ada PRN Johor? Ini kononnya ingin beritahu rakyat Johor supaya jangan percaya Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, portal berita tempatan mendedahkan dua menteri daripada Bersatu dikatakan mahu melompat kembali menyertai Umno.

- Bernama