Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naikkan gaji minimum kepada RM1,350 mulai Mac - MTEM

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) mahu kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,350 sebulan berkuat kuasa serta merta mulai Mac ini berbanding gaji RM1,200 sekararng.

Pengerusinya, Halim Husin, berkata ini boleh dilaksanakan susulan arahan gaji minimum bagi 2020 lupus tahun lalu, sebelum gaji minimum baru ditingkatkan kepada RM1,500 pada Januari tahun depan seperti yang dicadagkan oleh Menteri Sumber Manusia.

“Oleh kerana arahan gaji minimum tahun 2020 telah lupus pada akhir tahunl epas, kita menyarankan kepada kerajaan, sebagai langkah sementara untuk meningkat gaji minimum kepada RM1,350 serta merta pada bulan March 2022.

“(Ini) sebelum meningkatkan kepada cadangan peningkatan RM1,500 pada bulan Januari tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Halim, walaupun kenakan itu akan memberi kesan pada perniagaan, perlu difahami bahawa peningkatan gaji turut memberi dua kesan serampang dua mata.

“Di samping meningkatkan kos operasi , ia juga akan meningkatkan permintaan untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan berkali ganda disebabkan kesan multiplier.

“Antara sebab utama ekonomi kita terbantut dan tidak mampan sebenarnya adalah kerana fenomena underconsumption punca dari daya beli yang lemah disebabkan gaji rendah yang telah berlarutan begitu lama,” katanya.

Sehubungan itu, Halim berkata kenaikan gaji minimum itu tidak seharusnya ditunda sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.

“Janganlah ditunda perkara ini sehingga selepas PRU15. Cadangan ini, jika dilaksanakan, akan beri kesan bermakna terhadap golongan miskin dan B40 dimana kebanyakan adalah golongan bumiputra terdiri daripada orang Melayu, anak Sabah dan anak Sarawak serta orang Asal,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berjanji untuk mengkaji semula gaji minimum nasional. Katanya, akan ada berita baik mengenai kenaikan gaji minimum dalam waktu terdekat.

Untuk rekod, kali terakhir gaji minimum bulanan disemak adalah pada 1 Feb, 2020, dengan kenaikan RM100.

Mengulas lanjut, Halim berkata, langkah itu sudah lama tertunggak kerana gaji dan upah di Malaysia amat rendah.

“Kesan jangka panjangnya menyebabkan kebanyakan rakyat bersusah-payah mencukupkan keperluan isi rumah.

"Selepas ada segelintir rakyat hampir mengosongkan simpanan KWSP kesan pandemik Covid-19, kenaikan gaji minimum amat diperlukan," katanya.

Halim berkata, mengikut tanda aras antarabangsa, gaji minimum di negara ini sepatutnya sudah mencecah RM1,465 iaitu pada tangga 60 peratus daripada gaji penengah RM2,442.

Berdasarkan formula gaji minimum KSM yang mengandungi garis kemiskinan, produktiviti dan elemen indeks harga pengguna (CPI), beliau berkata, MTEM mendapati gaji minimum sebenar jika menggunakan jumlah purata kebangsaan ialah RM1,832.

"Hakikatnya, gaji minimum negara adalah lebih rendah berbanding 'Greater Jakarta' yang mana mereka membayar AS$326 sebulan (RM1,368) berdasarkan 40 jam bekerja seminggu berbanding Malaysia iaitu AS$286 (RM1,196) berdasarkan 48 jam bekerja seminggu.

"Jika gaji minimum diukur dan dikaitkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita, Malaysia adalah negara yang paling 'kedekut' dalam kalangan negara jiran ASEAN dari segi memberi upah pada pekerja.

"Malaysia hanya membayar 25 peratus daripada KDNK perkapita negara, sedangkan Indonesia dan Filipina membayar gaji pekerja 84 peratus dan 76 peratus di bandar utama mereka," katanya lagi.