Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib: Saya tidak miliki aset AS$681 juta yang dituntut 1MDB

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia tidak mempunyai AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang dituntut oleh 1MDB dan anak syarikatnya.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Selasa lalu yang mengeluarkan perintah injunksi Mareva ex-parte untuk membekukan aset bekas perdana menteri itu dan hanya membenarkannya mengeluarkan tidak lebih RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk perbelanjaan sara hidup.

“Entah kenapa 1MDB fikir saya ada RM2.6 bilion (AS$681 juta) untuk bayar pampasan.

“Saya tak ada wang untuk bayar tuntutan cukai RM1.7 bilion LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), dia (1MDB) ingat saya ada wang untuk bayar RM2.6 bilion?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

“Saya tiada aset berjumlah AS$681 juta." katanya.

Menurut sisatan pihak berkuasa di Amerika Syarikat pada Mac 2013, Najib menerima AS$681 juta yang diselewengkan daripada 1MDB.

Daripada jumlah itu, AS$620 juta didakwa telah dipulangkan ke akaun yang dikawal oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan, iaitu Jho Low.

Sebahagian daripada dana yang dipulangkan itu didakwa telah dibelanjakan untuk membeli barang kemas untuk isteri Najib, Rosmah Mansor.

Najib sebelum ini, berulang-kali menegaskan bahawa AS$681 juta adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi dan menafikan sebarang salah laku. Dia kini dibicarakan atas dakwaan penyelewengan.

Najib dalam catatan Facebook hari ini, membayangkan saman sivil 1MDB itu bermotifkan politik.

Dakwanya, firma guaman yang mewakili 1MDB, Tetuan Rosli Dahlan Saravana, dimiliki oleh peguam peribadi bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Dia berkata adalah jelas bahawa saman itu difailkan untuk "membina persepsi" bahawa dia mempunyai aset bernilai AS$681 juta untuk dibekukan.

“Ini palsu. Setelah bertahun-tahun menyiasat, kerajaan amat jelas berapa nilai aset yang saya ada,” katanya.

Najib juga dalam catatannya berkata bahawa saman itu kebetulan dibuat susulan dengan pilihan raya mengejut Johor pada 12 Mac ini.

[Baca berita penuh]