DAP Johor hadapi kemelut ekoran perubahan calon
DAP Johor kini berdepan dengan konflik dalaman ekoran pemilihan calon yang akan diturunkan bagi menghadapi PRN kali ini, sekali gus mungkin menjejaskan peluang mereka untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi.
Sejak minggu lalu timbul spekulasi mengenai beberapa penyandang Adun dari parti itu akan digugurkan.
Pada awalnya nama-nama yang dikaitkan dengan pengguguran tersebut ialah Tan Hong Pin (Skudai), Ng Yak Howe (Bentayan), Ee Chin Li (Tangkak), Cheo Yee How (Perling) dan Yeo Tung Siong (Pekan Nanas).
Kesemua mereka dianggap tidak sehaluan dengan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Pada 6 Feb lalu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan Ee tidak akan mempertahankan kerusinya dalam PRN kali ini. Bagaimanapun nasib empat lagi nama tidak diketahui setakat ini.
Ketika khabar mengenai kemungkinan ada nama lain juga akan diketepikan, ahli akar umbi DAP di Johor mengadakan protes dan untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.
Pada Selasa sekumpulan ahli DAP dari kawasan parlimen Iskandar Puteri menjemput Liew untuk mengadakan dialog dengan mereka di Skudai.
Ada dua kem berbeza
Bagaimanapun Liew tidak muncul dan itu menambahkan lagi kemarahan penyokong penyandang Adun terbabit.
Dalam siaran langsung majlis itu yang disiarkan di Facebook memberikan fokus ke arah kerusi kosong yang disediakan untuk Liew.
"Kita hadir di sini bukan untuk saling berbunuhan. Kita hanya mahu menyatakan pandangan. Harap-harap dia (Liew) akan muncul.
"Saya terpaksa melakukan ini melalui Facebook sementara menunggu dia," kata ahli Pemuda DAP Johor, Shawn Tan Boon Kuang.
Sudah menjadi rahsia umum di Johor ada dua kumpulan DAP. Satu diketuai Liew, manakala satu lagi Hong Pin. Hubungan tegang di antara mereka sudah wujud seawal pemilihan parti pada 2018.
Di sebalik spekulasi dia akan juga digugurkan, Hong Pin pada minggu lalu bertanya secara terbuka kepada Liew jika keputusan tersebut ada kaitan dengan perselisihan faham yang berlaku di antara mereka berdua.
Ditawarkan kerusi parlimen
Menurut Hong Pin, sebelum ini Liew pernah memberitahunya secara peribadi bahawa dia tidak akan dicalonkan oleh DAP di Skudai lagi.
Hong Pin juga memberi ingatan, DAP tidak mampu melakukan perubahan besar pada senarai calon mereka ketika sentimen awam di Johor tidak memihak kepada pembangkang atau Pakatan Harapan.
"Bagaimanapun pengerusi negeri (Liew) memberitahu saya dia akan mengambil tanggungjawab jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam PRN Johor," katanya yang dipetik China Press pada 4 Feb lalu.
Dalam hantaran di Facebook hari ini Liew mengesahkan Hong Pin tidak akan dicalonkan di Skudai sebaliknya dia ditawarkan untuk bertanding bagi kawasan parlimen Labis pada PRU akan datang.
"Sebelum ini apabila pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU, menjadi amalan biasa kepada mana-mana parti untuk menukar calon mereka dari kerusi parlimen ke DUN atau sebaliknya.
“Sesetengah pemerhati malah menganggapnya sebagai ‘peningkatan’ apabila seorang Adun diletakkan ke parlimen.
"Walaupun pilihan raya negeri dan persekutuan kini dipisahkan, asasnya tetap sama," katanya.
Justeru Liew berkata, Hong Pin bukanlah digugurkan sebaliknya dipersiapkan untuk menjadi calon bagi parlimen Labis.
Malaysiakini difahamkan, pemimpin pusat DAP sudah campur tangan bagi cuba menyelesaikan krisis itu sebelum tibanya hari penamaan calon pada 26 Feb ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai