Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menara TM untuk dijual

Menara TM, antara bangunan ikonik di Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pantai Baharu ditawarkan untuk penjualan oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd.

Iklan berkenaan disiarkan dia akhbar The Star hari ini dan juga di portal propertyguru.

Bagaimanapun harga bagi bangunan setinggi 55 tingkat itu dengan keluasan 989,200 kaki persegi itu tidak didedahkan.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

Bangunan itu dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 dan berstatus pegangan bebas dan ketika ini dihuni sepenuhnya.

Menurut iklan itu, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan serba guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan juga masjid.

Menara berkenaan dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) dan memiliki lebih 1,700 ruang letak kereta.

Ia juga memiliki status MSC iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

Selain itu, kedudukannya berhampiran KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South dan juga berdekatan infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti menjadikan bangunan itu begitu strategik.

WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.

Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini menjelaskan bahawa ia hanya merupakan penyewa di Menara TM.

Dalam satu kenyataan, TM turut menegaskan bahawa ia bukan pemilik bangunan itu dan tidak terbabit langsung dalam usaha jualan oleh pemilik hartanah tersebut, Menara ABS Bhd.

Menurut syarikat itu, TM sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya.