Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Buka semula sempadan bolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia’

Pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia untuk menjalani rawatan di hospital yang terhenti sejak awal 2020, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh.

Sambil mengalu-alukan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) agar sempadan negara dibuka sepenuhnya mulai 1 Mac tanpa keperluan kuarantin, beliau berkata langkah itu juga akan membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang telah menjana sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019.

Katanya, persatuan itu mempunyai 151 hospital sebagai ahli di seluruh negara dan majoriti daripada hospital berkenaan merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.

“Bagaimanapun, hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan mengenai saringan pelancong perubatan sebelum menerima pelancong perubatan sebagai pesakit.

“Kami hanya menerima pelancong perubatan yang divaksin sepenuhnya dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya kurang risiko bagi mereka mengalami sakit teruk sekiranya terdapat jangkitan COVID-19 semasa menjalani rawatan dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada kerajaan supaya sempadan negara dibuka seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata hospital swasta di negara ini bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kes pesakit Omicron di fasiliti kerajaan.

Beliau berkata semasa kemuncak kes COVID-19 varian Delta tahun lepas, 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital Kementerian Kesihatan.

“Kami yakin untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban seperti yang disarankan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada 7 Feb lalu. Hospital swasta telah dimasukkan dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas COVID-19 (RRTF) Kebangsaan untuk memudahkan proses ini," tambahnya.

Dr Kuljit APHM juga menggesa orang ramai agar segera mendapatkan dos penggalak mereka.

“Ia terbukti di seluruh dunia, vaksinasi lengkap dengan dos penggalak telah mengurangkan kesan lebih teruk wabak dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” tambahnya.

- Bernama