SPRM: Sukar buktikan tawaran wang pada wakil rakyat lompat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mengakui ada menerima laporan berhubung tawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti tetapi ia sukar dibuktikan.
“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam baki seperti dipetik Free Malaysia Today hari ini.
Justeru, Azam berkata Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempunyai undang-undang berhubung dana politik.
“Ketika ini negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik. Sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong,” katanya lagi.
Pada 20 Jan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Feb ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata dia memang menyokong usaha menggubal akta berkenaan dana politik untuk memastikan sumber kewangan yang diperolehi parti bukan daripada saluran haram.
Menurutnya, ketika ini sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun siasatan tetap dijalankan sekiranya menerima laporan.
“Dana (politik) yang kita tidak tahu daripada mana datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram. Undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber yang tidak dapat dipastikan.
“Ini kerana dana yang datang itu berkemungkinan diperoleh daripada sumber-sumber haram,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai