'Muda nampak menyerlah tapi cuma di alam maya'
PRN JOHOR | Ramai yang menyorot perhatian untuk melihat bagaimana Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertarung di Johor dalam penampilan sulungnya di pentas pilihan raya.
Hal itu memandangkan PRN Johor kali ini bakal menyaksikan pilihan raya pertama yang melaksanakan Undi18, yang - antara lain - membenarkan pengundi semuda 18 tahun memilih wakil rakyat mereka.
Muda pula dilihat ibarat juara di alam maya dengan kempen-kempen yang sering diperkatakan, seperti Mari Bantu yang berjaya mengutip sumbangan awam bernilai jutaan ringgit yang disalurkan kepada mangsa banjir tahun lalu, selain menikmati reaksi dan perkongsian yang kencang di platform media sosial.
Namun, di mata pemuda parti-parti dalam kerajaan Keluarga Malaysia, populariti Muda - yang kemungkinan besar bakal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) - hanya menyerlah sekadar di alam maya.
Pada pandangan mereka populariti sebegitu belum terjamin akan dijelmakan pada kertas undi.
“Bagi saya, ia sekadar di alam maya sahaja. Di peringkat bawahan, di lapangan, tidak semua anak muda ke arah Muda,” kata Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.
Menurutnya, mungkin ramai anak muda yang suka akan personaliti Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun ia belum tentu turut merangkumi parti Muda itu sendiri.
Katanya, sikap anak muka ke atas Syed Saddiq mungkin disebabkan perwatakan ahli parlimen Muar itu.
Ambil sikap terbuka
Pada masa sama, kata Muhammad Shamsuddin, tidak kelihatan mereka cenderung kepada Muda yang dianggapnya belum mempunyai hala tuju yang jelas.
“[...] Memang kita nampak Muda lebih ke arah hantaran maya ini, lebih power, lebih hebat, lebih terkehadapan berbanding Armada, (tapi) kami tak lebih fokus kepada lakonan semata-mata.
"Kami lebih kepada buat aktiviti di bawah. Yang penting ialah undi, katanya.
Tambah Muhammad Shamsuddin Armada Johor memang jarang memasukkan aktiviti mereka dalam alam maya kerana 'sentuhan' di akar umbi yang perlukan.
Kadang-kadang, katanya, apa yang dilihat di alam maya berbeza pada realitinya.
Sebelum mengasaskan Muda, Syed Saddiq merupakan ketua Armada di peringkat kebangsaaan, dan menjadi menteri dalam kerajaan PH, namun dipecat selepas insiden Langkah Sheraton 2021 yang menyaksikan gabungan yang mendapat mandat rakyat itu tumbang di luar proses pilihan raya.
Seperti Muhammad Shamsuddin yang terbuka untuk melihat Muda memeriahkan PRN Johor, Ketua Pemuda Umno negeri itu, Mohd Hariri Mad Shah, turut mengalu-alukan penyertaan parti baru berkenaan.
Kata Mohd Hariri, pembabitkan Muda dilihat sebagai persaingan sihat untuk menarik undi orang muda.
Namun, pada masa sama dia tidak melihat Muda sebagai ancaman yang menjejaskan sokongan orang muda terhadap Umno, bahkan percaya pada rekod prestasi Pemuda Umno yang sudah lama memberikan fokus kepada kebajikan golongan terbabit.
“Tidak perlu nampak menyerlah, menarik kerumunan (crowd) media sosial dan like.
“Pemuda Umno sudah lama lakukan usaha seperti yang mereka (Muda) buat, cuma kami hanya fikir menjalankan tanggungjawab berjumpa akar umbi, tidak pula memberi keutamaan kepada jumlah like dan bantuan tular di media sosial.
“Pemuda Umno percaya anak muda sekarang bijak menilai,” katanya kepada Malaysiakini.
Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz, pula berpandangan Muda memang mampu menarik segmen tertentu dalam golongan pengundi remaja untuk menyokong mereka, namun yakin ia cuma melibatkan jumlah yang kecil.
Katanya, Muda mungkin menjadi pilihan segmen orang muda yang lebih terbuka dan liberal, namun kelompok yang lebih besar akan lebih cenderung untuk memilih PN atau Umno.
“Dia (Muda) lebih kepada mengganggu undilah. Dia akan dapat segmen yang dia nak, tetapi itu sekadar menjadi gangguan kepada undi (parti) lain.
"Dia sendiri pun belum tentu boleh (menang),” katanya yang tidak melihat gangguan itu akan melarat sehingga mengancam peluang PAS.
Bukan ukuran sebenar
Seperti Muhammad Shamsuddin dan Hairi, Ahmad Nawfal juga melihat pesona Muda hanya bersinar di alam maya.
Di alam maya, katanya, Muda diakui mendapat perhatian yang besar namun keadaan berbeza di dunia sebenar.
"Di alam realiti ramai yang mengecam dan tahu apa sebenarnya yang dibuat di lapangan itu, adalah cerita-cerita lainnya,” katanya dipercayai merujuk kontroversi menyelubungi Muda ekoran tularnya gambar minum minuman keras ketika misi bantuan banjir.
Susulan itu, ada yang mempersoalkan moral ahli Muda, bahkan ada yang menuduh wang sumbangan disalahgunakan, namun hal itu dinafikan Syed Saddiq dengan memberi jaminan Muda tidak akan menyembunyikan semua butiran perbelanjaan wang sumbangan.
“Benda itu (menyerlah di alam maya) bukanlah ukuran sebenar,” tambah Ahmad Nawfal.
Muda berunding dengan PH bagi memastikan tidak berlaku pertembungan mereka.
Dalam parti-parti Keluarga Malaysia pula, PN dan Umno-BN mengambil haluan berbeza. Umno-BN memilih bertanding solo yang bakal menyaksikan pertembungan sesama sekutu antara Umno-BN dengan Bersatu dan PAS dalam PN.
Namun, bagi ketiga-tiga sayap parti komponen Keluarga Malaysia itu, mereka yakin undi orang muda akan berpihak kepada mereka, dan Muda bagi mereka, bukanlah satu ancaman.
Jika Ahmad Nawfal yakin program yang sudah lama disusun mampu menarik sokongan besar daripada golongan itu, Mohd Hairi pula yakin anak muda Johor dahagakan perubahan untuk kembali kepada Umno setelah “tersilap” memilih PH pada PRU lalu.
Mohd Hariri dan Muhammad Shamsuddin menjadikan PRN Melaka sebagai pengukur bahawa parti masing-masing menkmati kepercayaan yang lebih besar daripada golongan muda.
“Kami memang yakin, dan kami sudah bersedia. Kami tak ada masalah tentang itu (menarik sokongan orang muda),” tegas Muhammad Shamsuddin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai