Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'SPRM siasat isu elaun Mara Corp, tiada laporan tentang kad kredit'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berkaitan isu elaun anggota lembaga pengarah  Mara Corporation -  syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

"Setakat ini kita menjalankan satu siasatan mengenai isu salah guna kuasa berkait dengan isu elaun,” kata Azam.

Menjawab soalan berkaitan terdapat dakwaan penyalahgunaan kad kredit syarikat, Azam bagaimanapun berkata mereka tidak menerima sebarang laporan berkaitan perkara itu.

Malah, katanya, dia sendiri hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan beberapa wartawan yang menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan.

"SPRM masih belum menerima laporan mengenai dakwaan salah guna kad kredit.

"Sekiranya ada perkara ini, kita minta pihak berkenaan supaya membuat laporan kepada SPRM dan kita akan menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi portal berita ini.

Bayaran RM12,000 di kedai golf

Berdasarkan resit yang dilihat Malaysiakini, terdapat seorang pegawai kanan Mara Corp menggunakan kad kredit syarikat untuk membeli peralatan golf bernilai lebih RM12,000.

Bayaran deposit kepada syarikat yang beralamat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu dibuat pada Sept tahun lalu, berdasarkan salinan resit yang dikongsi oleh sumber dalaman Mara Corp.

Pegawai kanan Mara Corp itu ketika dihubungi Malaysiakini pada Selasa enggan mengulas perkara itu.

Semalam, sebuah media melaporkan seorang pegawai kanan Mara Corp menafikan menyalahgunakan kad kredit syarikat untuk berbelanja di kelab malam dan karaoke serta membeli beg mewah Louis Vuitton bernilai ratusan ringgit.

Katanya, semua perbelanjaan kad kreditnya untuk kegunaan perniagaan. 

Malah, katanya, kad kredit yang dipegangnya mempunyai had RM50,000.

Serbuan di 3 pejabat

SPRM semalam menyerbu ibu pejabat Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat di sekitar ibu kota susulan dakwaan isu integriti membabitkan pegawai kanan agensi berkenaan.

Bernama difahamkan serbuan itu bagi mengumpul dokumen salah laku beberapa pegawai agensi itu yang tular setelah SPRM menerima laporan pada Sabtu.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Azizah Mohd Dun

Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun berkata pengurusan Mara dan Mara Corp sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes itu untuk siasatan SPRM.

Dia menegaskan tiada kompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam.


Laporan tambahan oleh Haspaizi Zain.