Wanita alami detik cemas: Tebing runtuh timbus belakang kereta
Seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila sebahagian keretanya tertimbus dalam kejadian tebing runtuh di sebuah kawasan perumahan, Jalan Limbok, di Seremban, petang tadi.
Kejadian berlaku semasa Christine Ratnam sedang dalam perjalanan pulang ke rumah, melalui jalan di tebing bukit kawasan berkenaan, apabila tanah dan batu dari tebing yang runtuh itu mulai menimpa sebelah kiri bahagian belakang perodua Myvi yang dipandunya.
Anak saudara Christine, Sri Vythalingam semasa menceritakan kejadian itu kepada pemberita berkata Christine terus memberhentikan kenderaan dan keluar dari kereta itu dengan segera untuk menyelamatkan diri.
"Ada sebuah rumah banglo di bahagian atas tebing bukit itu, memang ada kerja-kerja pembinaan dijalankan di kawasan itu, dan tebing itu mungkin runtuh susulan hujan lebat sejak pukul 5 petang tadi," katanya kepada Bernama di Seremban.
Sri berkata pemilik rumah banglo serta kontraktor terbabit memberitahu mereka akan bertanggungjawab, selain turut bersedia membayar ganti rugi susulan insiden berkenaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata pihaknya menerima panggilan mengenai tebing sebuah rumah di kawasan itu runtuh lalu terkena sebuah kereta pada pukul 5.30 petang tadi, bagaimanapun tiada mangsa cedera.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai