Petani, penganggur didakwa edar ganja, berdepan hukuman mati
Seorang petani dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kangar hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 266.291 kilogram (kg) di Simpang Empat, Kangar, bulan lepas.
Menurut kertas pertuduhan, Anas Shakir, 33, dan Tuan Amiruldin Tuan Ali, 29, dituduh mengedar dadah itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lat Seribu, Simpang Empat, Kangar pada 8.40 pagi, 24 Jan lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan; dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman mati, atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.
Kedua-dua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, dan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali kemudiannya menetapkan 7 April depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis Alia Suzila Chek Pi, manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.
Pada 27 Jan lepas beberapa media melaporkan kejayaan polis menahan enam lelaki berusia 28 hingga 45 tahun dalam satu operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perlis pada 24 Jan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai