Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kedutaan akan mohon kebenaran khas vaksin rakyat Malaysia di Indonesia

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan meminta kebenaran khas daripada Indonesia untuk membenarkan rakyat Malaysia yang tidak memiliki Kartu Izin Tinggal Terbatas Indonesia, lebih dikenali sebagai Kitas, mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sana.

Ini selepas program vaksinasi khas anjuran bersama oleh kedutaan dan Kamar Dagang Indonesia (Kadin) tahun lepas - yang membenarkan rakyat Malaysia bukan pemegang Kitas membeli vaksin Covid-19 - terpaksa dihentikan kerana kritikan seperti ramai rakyat Indonesia masih belum mendapat suntikan vaksin pertama mereka ketika itu.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Kementerian Luar Negeri berkata hanya warga asing yang memiliki Kitas boleh memohon Surat Keterangan Tempat Tinggal (SKTT) Indonesia, yang merupakan dokumen pengenalan diri yang diperlukan bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin di negara itu.

"Manakala, warganegara Malaysia/asing yang tidak mempunyai Kitas atau SKTT tidak dibenar mendapatkan vaksinasi.

"Dalam hal ini, antara langkah yang telah diambil bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksinasi di Indonesia ialah kerjasama dengan pihak Kadin melalui program vaksinasi gotong-royong pada pertengahan bulan September 2021.

"Program ini berjaya membantu warganegara asing termasuk rakyat Malaysia di Indonesia untuk mendapatkan vaksin dengan bayaran antara Rp.700-800 ribu (antara RM203.40 himmga RM232.45).

"Namun begitu, program ini hanya dijalankan secara one-off dan tidak lagi diteruskan oleh pihak Kadin. Malangnya, terdapat warganegara Malaysia yang telah hadir tetapi tidak mahu mengambil vaksin yang ditawarkan iaitu Sinopharm.

"...Program vaksinasi gotong-royong berkenaan tidak diteruskan memandangkan terdapat kritikan dari masyarakat Indonesia yang rata-ratanya masih belum menerima suntikan pertama vaksin.

"Sebilangan besar masyarakat Indonesia juga tidak mampu membayar bayaran yang dikenakan di dalam program gotong-royong tersebut," kata Wisma Putra.

Malaysiakini telah meminta komen Wisma Putra selepas mengetahui tentang dilema yang dihadapi oleh sebilangan rakyat Malaysia di Indonesia yang tidak dapat divaksin kerana isu polisi itu.

Salah seorang yang terjejas ialah seorang suri rumah berusia 37 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Aida, yang terbang ke Jakarta pada Disember 2020 untuk melawat suaminya warga Indonesia.

Aida berkata, statusnya yang tidak divaksin membataskan pergerakannya kepada beberapa kemudahan sahaja, termasuk pasar mini dan kedai serbaneka untuk membeli barangan keperluan harian.

Ini juga bermakna dia tidak dibenarkan masuk ke lapangan terbang, yang menimbulkan dilema bagi Aida untuk menaiki penerbangan jika dia memilih untuk pulang ke Malaysia untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Di sini mereka pun ada macam kita punya MySejahtera, tapi namanya Peduli Lindungi dan itu hanya kita pakai untuk naik kapal terbang, masuk pusat beli-belah, hotel dan tempat-tempat pelancongan.

"Tapi saya belum vaksin tak dapatlah muat turun aplikasi tu. Sebab tak valid pun.

"Kalau saya balik semata-mata nak vaksin berapa saya nak bayar untuk hotel, PCR dan belum lagi mana saya nak duduk sementara nak lengkapkan dos vaksin. Saya tak ada rumah di Kuala Lumpur.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menerima 30 kes serupa setakat ini yang kebanyakannya tinggal di luar kawasan Jabodetabek (Jakarta – Bogor – Depok – Tangerang – Bekasi).

"Dalam perkara ini, pihak kedutaan akan cuba mendapatkan kebenaran khas bagi membolehkan warganegara Malaysia yang tidak memiliki Kitas dan SKTT turut divaksin di Indonesia," katanya.

Bagi warganegara Malaysia di luar negara, mereka perlu mengikuti keperluan vaksinasi dan program vaksinasi di negara mereka tinggal. Begitu juga dengan diplomat dan anggota misi Malaysia ke negara luar.

Kementerian Kesihatan hanya menyediakan suntikan vaksin Covid-19 untuk mereka yang berada di dalam Malaysia.

Tidak responsif

Sementara itu, Malaysiakini turut menerima beberapa aduan terhadap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, yang didakwa lambat atau tidak memberi respons dalam menangani isu yang dihadapi rakyat Malaysia di sana.

Menurut Aida, yang kesnya turut mendapat perhatian di Facebook selepas disiarkan oleh kartunis Zunar minggu lalu, dia cuba mendapatkan bantuan daripada pihak kedutaan sejak Disember tahun lalu.

Dia mendakwa bahawa percubaannya untuk mendapatkan bantuan melalui talian Whatsapp kedutaan tidak menerima apa-apa yang berguna, dan dia terpaksa mengganggu pegawai yang bertanggungjawab di hujung talian berkali-kali untuk mendapatkan jawapan.

"Akhirnya, saya terpaksa mengambil inisiatif sendiri sehingga saya berjaya menghubungi salah seorang pengarah di Kadin, yang kemudian berjanji akan membantu. Pengarah itu berkata dia hanya memerlukan surat rasmi daripada kedutaan supaya dia boleh membantu untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Apabila saya memberitahu perkara ini kepada pihak kedutaan, seorang pegawai berkata dia mahu menghubungi pengarah Kadin secara terus jadi saya memberikan nombornya,” kata Aida sambil menambah dia kemudian mendapat tahu pegawai yang menghubungi Kadin hanya mula bertanya tentang prosedur program itu.

Seorang lagi rakyat Malaysia di Jakarta, yang tidak mahu namanya disiarkan, juga mempunyai aduan yang sama walaupun tidak berkaitan dengan isu vaksinasi.

Menurut ahli perniagaan berusia 59 tahun itu, yang berulang alik ke Jakarta sejak 2012, kedutaan itu didakwa telah tidak memahami realiti semasa sejak beberapa tahun lalu.

"Saya sudah berputus asa berurusan dengan kedutaan kita, terutamanya di Indonesia. Saya akan menjaga diri saya sekiranya apa-apa berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

"Kedutaan tidak peduli dengan warganegara Malaysia yang tinggal di Indonesia. Saya rasa jika kita mati di tepi jalan mereka tidak akan peduli.

"Panggilan tidak pernah dijawab, nombor telefon bimbit yang sepatutnya beroperasi selama 24 jam juga tidak dijawab. Dan sekarang, kita tidak boleh masuk ke kedutaan pun.

"Mereka telah meletakkan papan tanda di hadapan kedutaan bahawa untuk kes kecemasan, kita harus menghubungi mereka melalui e-mel [email protected] atau hubungi pegawai yang bertugas melalui nombor +62 813 8081 3036.

"Saya tidak ingat berapa kali saya cuba menghubungi nombor ini. Membuang masa sahaja," katanya.

Menjawab aduan itu, Wisma Putra berkata pihak kedutaan sedang berusaha untuk menambah baik sistem telefonnya dengan menambah lebih banyak talian perhubungan, dan menambah baik sistem janji temu mereka.

Kementerian berkata bahawa kedutaan akan memastikan semua panggilan pada waktu pejabat dijawab, dan untuk waktu luar pejabat termasuk hujung minggu dan cuti umum, kedutaan boleh dihubungi melalui talian Pegawai Bertugas dan mesej Whatsapp.

"Bagaimanapun, pihak kedutaan mengakui terdapat banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan semua panggilan pelanggan dilayan dengan baik," katanya.

Mengenai lawatan fizikal ke kedutaan, Wisma Putra berkata mereka terpaksa mengehadkan bilangan individu yang boleh memasuki premis kedutaan mulai April 2020 berikutan penularan wabak Covid-19 di Indonesia.

Kedutaan boleh menerima maksimum 50 orang sehari sebagai langkah pencegahan.

Justeru, pelanggan yang ingin memasuki kedutaan dikehendaki membuat janji temu melalui e-mel, yang menurut kementerian akan dijawab dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja.

"Hanya pelanggan yang telah diberi janji temu dan membawa keputusan ujian antigen Covid-19 negatif akan dibenarkan masuk, kecuali untuk kes kecemasan," katanya.

Menurut Wisma Putra, kedutaan juga menghadapi masalah dengan alamat e-mel [email protected] berikutan latihan migrasi e-mel tahun lepas, yang mungkin menyebabkan beberapa e-mel tidak sampai ke kedutaan.

Mereka kini boleh dihubungi melalui [email protected].

[Baca berita asal]