Pengharaman komik BRI: Rayuan 'Superman Hew' didengar 23 Feb
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan bekas anggota DAP Hew Kuan Yau untuk membatalkan pengharaman komiknya berhubung Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) pada 23 Februari ini.
Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mengesahkan tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes pagi ini.
“Pendengaran pada 23 Februari (2022),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Hew, yang digelar sebagai 'Superman Hew’, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April tahun lalu, yang menolak semakan kehakimannya terhadap pengharaman yang dibuat Kementerian Dalam Negeri.
Permohonan semakan kehakiman berkenaan bertujuan menghentikan perintah larangan oleh menteri dalam negeri dan warta Jabatan Peguam Negara mengenai perintah larangan itu, bertarikh 23 Oktober 2019.
Perintah itu dibuat berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Ketika itu, hakim Noorin Badaruddin memutuskan keputusan menteri melarang pengedaran buku itu sah, wajar dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.
Hakim berkata ini kerana keputusan menteri itu dibbuat setelah memeriksa kandungan buku itu, yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Hew adalah pengarang bersama komik yang diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina.
Larangan kementerian itu merangkumi kesemua tiga versi bahasa.
Buku itu dikatakan mempromosi China dan "Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)" sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.
Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighur di China - yang dikatakan ditahan di "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".
Pada 21 Oktober 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata peranan Malaysia bukannya mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.
Mahathir merujuk kepada pengedaran percuma komik tersebut di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di Pulau Pinang yang kemudian dihentikan pengedarannya oleh Kementerian Pendidikan.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan perintah larangan dua hari kemudian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai