Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ramasamy: Kenapa MEF amal dwistandard isu gaji minimum?

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) kerana menentang peningkatan gaji minimum, yang disifatkannya akan menjejaskan pemulihan perniagaan.

“Dikatakan sektor swasta perlukan masa untuk pulih daripada kesan wabak Covid-19. Pelaksanaan gaji minimum mungkin menjejaskan industri yang sedang bergelut untuk pulih.

“Ini hujah yang pelik daripada MEF - yang dianggap sebagai pelindung firma sektor swasta.

“Walaupun jika ia hujah yang boleh diterima, saya lihat pelik apabila MEF tidak pernah mempertahankan gaji minimum ketika ekonomi dalam keadaan baik, terutama sebelum wabak. Mengapa MED ada standard berbeza?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dia juga berkata kerajaan lebih berminat untuk mendapat pekerja asing dengan gaji murah berbanding memberi perhatian kepada kesukaran yang dihadapi tenaga kerja tempatan.

“Jika kementerian menumpukan perhatian yang memadai kepada keadaan kesatuan kerja dan pekerja, gaji minimum tidak perlu diperkenalkan.

“Sudah tiba masanya kerajaan melihat pekerja sebagai manusia dan apa keperluan material yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang baik di negara ini,” katanya lagi.

Semalam, MEF berkata belum tiba masanya untuk melaksanakan cadangan gaji minimum RM1,500.

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan perniagaan tidak bersedia kerana masih merasai impak wabak Covid-19 dan bencana banjir.

Kebebasan pekerja disekat

Menurut Ramasamy, majikan tidak pernah setuju dengan perundangan berkenaan gaji minimum - dengan ramai yang berpandangan ia patut ditentukan oleh faktor permintaan dan bekalan.

Dia berkata, hujah itu hanya boleh diterima jika kesatuan sekerja bebas untu menganjurkan dan membuat rundingan kolektif, serta jika tiada campur tangan kerajaan.

“Tetapi di Malaysia, ada campur tangan besar kerajaan melibatkan sektor tenaga kerja. Kerajaan menyekat kebebasan pekerja dan kesatuan dengan mengetatkan undang-undang.

“Bagaimana interaksi permintaan dan bekalan boleh berlaku jika tangan kesatuan diikat dan majikan bebas?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Ramasamy juga berpendapat cadangan gaji minimum di Malaysia gagal menangani persoalan gaji yang wajar.

“Saya tak kata tidak perlu ada gaji minimum, lebih baik ada daripada tiada langsung.

“Ia petanda buruk yang ada sesuatu yang sangat kurang dalam soal menangani kebajikan dan kesejahteraan pekerja di negara ini,” katanya lagi.