Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada MOU isu pembantu rumah dengan Indonesia minggu depan

Memorandum persefahaman (MOU) mengenai pengambilan pembantu rumah Indonesia di Malaysia tidak akan ditandatangani di Bali minggu depan seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

The Star memetik Saravanan sebagai berkata bahawa Malaysia masih menunggu tarikh pemeteraian baru pada lewat bulan ini.

"Kami masih menyasarkan untuk memuktamadkan MOU dalam bulan ini kerana kami menyedari permintaan mendesak untuk pembantu rumah dalam kalangan majikan tempatan," kata Saravanan seperti dilaporkan.

Pada 24 Jan, selepas bertemu dengan rakan sejawat dari Indonesia, Ida Fauziyah, Saravanan mengumumkan bahawa MOU itu akan ditandatangani di Bali, pada 7 Feb dan 8 Feb, diikuti dengan pelancaran projek perintis melibatkan 10,000 pembantu rumah.

Sumber yang rapat dengan rundingan itu menyatakan bahawa kenyataan Ida yang dikeluarkan pada 24 Jan tidak menyebut tarikh menandatangani atau pelancaran projek perintis itu, menunjukkan Malaysia telah membuat pengumuman sepihak mengenai perkara itu.

Sumber itu berkata delegasi daripada Kementerian Sumber Manusia Malaysia masih akan ke Indonesia esok untuk perbincangan seterusnya.

Malaysiakini mendapati antara perkara yang belum selesai termasuk titik integrasi untuk dua permohonan pengurusan pekerja dalam talian - Siapkerja Indonesia dan FWCMS Malaysia - yang akan membentuk Sistem Satu Saluran (OCS) untuk pengambilan dan penempatan pekerja.

Saravanan berkata OCS akan berfungsi sebagai platform digital tunggal untuk pengambilan pekerja pembantu rumah Indonesia.

"Menggunakan satu platform tunggal membolehkan pemantauan yang lebih baik dan pelaksanaan yang berkesan, dan akan menangani isu eksploitasi pekerja, termasuk manipulasi oleh agensi pengambilan yang tidak bertanggungjawab.

"Indonesia juga telah menyatakan harapan bahawa kedua-dua pihak akan menghormati komitmen mereka kepada OCS selepas menandatangani MOU," kata Saravanan, seperti dipetik The Star.

Satu lagi perkara penting yang menjadi pertikaian adalah mengenai struktur kos akhir untuk mengambil pekerja rumah Indonesia.

Saravanan, yang sebelum ini memetik angka antara RM10,000 dan RM15,000, dilaporkan berkata kedua-dua pihak bersetuju kos itu dikaji semula setiap enam bulan, berbanding perjanjian sebelum ini di mana ia hanya diteliti semula selepas lima tahun.

"Selepas Covid-19, ia adalah satu cabaran berhubung kos pengambilan pekerja asing termasuk pembantu rumah. Ini disebabkan kos kuarantin dan ujian saringan Covid-19.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengkaji semula struktur kos bagi mengikuti perkembangan semasa terutama dari segi kos berkaitan pandemik termasuk tambang penerbangan yang agak curam pada masa kini.

“Pada masa akan datang, jika tiada lagi syarat untuk pengembara menjalani kuarantin, kita boleh laksanakan 'Uji dan Lepaskan' untuk mengurangkan kos," katanya.

Rundingan dua hala yang membawa kepada pemeteraian yang akan datang telah dijalankan di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat daripada kumpulan hak warga asing agar kedua-dua kerajaan mengiktiraf kerja pembantu rumah sebagai kerja formal dan meluluskan undang-undang yang akan memberi mandat perlindungan yang lebih baik untuk pekerja rumah tangga.

Malaysia dan Indonesia telah menandatangani MOU pertama mereka mengenai pengambilan pembantu rumah pada 13 Mei 2006, diikuti dengan protokol untuk meminda MOU pada 31 Mei 2011, yang tamat tempoh pada 30 Mei 2016.