'Datuk seri pula ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah?'
Pemuda PAS hari ini tampil mempertahankan presiden parti itu, Abdul Hadi Awang daripada kritikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mengambil pendekatan tidak membalas serangan apabila pemimpin kedua-dua parti saling bertikaian, tetapi tidak apabila Abdul Hadi disindir Ahmad Zahid.
"Bila presiden kami membalas kiasan seorang veteran Umno yang menyifatkan PAS cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja - bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit - marah benar datuk seri sehingga mencadangkan presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi.
"Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, datuk seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?
"Atau datuk serilah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Walaupun Fadhli tidak menyebut nama Zahid secara khusus, namun kenyataan itu jelas ditujukan kepadanya berikutan kenyataan yang dibuatnya pada Jumaat lalu.
Zahid dalam ucapan di majlis pelancaran jentera BN diIskandar Puteri, Johor berkata mereka bukanlah haiwan seperti yang disebutkan Abdul Hadi baru-baru ini.
"Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).
"Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi," katanya dengan sinis.
Ia bagi membalas kenyataan Abdul Hadi pada 28 Januari lalu yang menyifatkan Umno seperti itik yang patah kaki dan kini cuba 'berenang' bersendirian selepas pulih dengan bantuan mereka.
Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.
“Murid setia kepada cikgu” pula dipercayai merujuk kepada rakaman perbualan didakwa antara Zahid dengan Anwar Ibrahim yang bocor pada April 2021, di mana Zahid didakwa menyifatkan presiden PKR itu sebagai gurunya.
Dia bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dia adalah orang yang didakwa dalam rakaman tersebut.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata dia hairan mengapa masih ada pihak yang mempercayai ucapan “datuk seri” tersebut yang menurutnya jelas hanya memperbudakkan pendengar.
'Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itupun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’," katanya.
Pada masa sama, dia mengingatkan agar kalangan dalam Umno yang masih komited dengan penyatuan ummah agar tidak berputus asa.
"Semoga ada sinar jua di hujung terowong," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai