Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis tahan lelaki bantu siasatan kes perbuatan khianat di Ipoh

Polis menahan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan berhubung rakaman klip video mengenai perbuatan khianat dan mendatangkan kecederaan di sebuah premis makanan di Ipoh yang tular di media sosial sejak semalam.

“Siasatan pihak polis terhadap video itu telah menghasilkan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an, iaitu individu yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut," kata Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Katanya suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 akta sama kerana melakukan khianat.

Yahaya berkata pihaknya turut menerima laporan polis daripada waris suspek hari ini yang menyatakan suspek telah dipukul orang ramai di tempat kejadian semasa insiden itu.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melangkaui atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya dan menambah pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut merangkumi semua aspek mengenai kejadian itu.

- Bernama