Syed Saddiq ingatkan Muda jangan ambil mudah sentimen Undi18
Pimpinan tertinggi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diingatkan supaya tidak mengambil mudah sentimen Undi18 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata oleh itu Muda perlu bekerja lebih kuat berbanding parti-parti lain dengan membina politik matang tanpa menjatuhkan pihak lawan serta menumpukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Biar kita berlumba-lumba bukan untuk jatuhkan parti lain tetapi berlumba agar kita dapat berikan tawaran dan khidmat yang lebih baik.
"Ini kerana anak muda ketika ini lebih bijak dan pandai, mereka tidak akan mengundi seseorang hanya kerana calon itu muda. Golongan ini lebih berfikiran matang, berpendidikan dan tahu apa lebih baik untuk diri mereka,” dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program Santai Tengah Hari bersama Komuniti Ulu Tiram dekat Johor Bahru hari ini.
Ditanya mengenai desas-desus sama ada beliau akan bertanding pada PRN Johor kali ini, Syed Saddiq berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang rakyat ingin tahu ketika ini tetapi mereka mahu mendengar solusi yang akan dibawa Muda untuk membantu mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 74,000 hingga 76,000 orang telah berdaftar sebagai ahli Muda merangkumi seluruh negara setakat minggu lepas.
PRN Johor bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Feb ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai