Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr M 'kirim semangat' buat Pejuang di Johor

PRN JOHOR | Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menitip pesan penguat semangat buat jentera parti Pejuang yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Pesanan dititip pengerusi Pejuang itu dibuat tatkala dia tidak dapat bersama jentera parti berkenaan kerana masih harus menjalani rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan dapat bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan.

“Saya merasa agak terkilan kerana buat masa ini tubuh badan saya tidak dapat bersama saudara dan saudari dalam menghadapi PRN Johor.

“Namun begitu percayalah, semangat dan jiwa saya mengiringi saudara dan saudari dalam setiap langkah yang diambil,” katanya dalam satu surat buat ahli Pejuang yang dimuat naik di Facebook.

Kata Mahathir, meskipun ramai mempersoalkan mengapa dia masih mengambil peduli akan hal duniawi dan tidak menumpukan untuk beribadah saja berdasarkan usianya, ahli parlimen Langkawi berkenaan menjelaskan, baginya perjuangan untuk negara juga satu ibadah yang tidak pernah ada noktah.

Bahkan, katanya, ia merupakan amanah yang perlu dipikul selagi hayat dikandung badan.

PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran DUN pada 22 Jan lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan selepas mereka bermesyuarat pada 9 Feb ini.

Jangan sesekali mundur

Mahathir telah dibenarkan pulang ke rumahnya pada 2 Feb lalu, sebelum kembali ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut, selain akan terus menjalani rawatan pemulihan.

Kata Mahathir, Pejuang bertanding dalam PRN Johor kerana tidak mahu kumpulan tidak amanah, rasuah, dan "mencuri harta rakyat" mendapat kuasa serta terus merosakkan bangsa, agama dan negara.

“Kuasa itu bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuas nafsu duniawi. Ia untuk melepas negeri dari cengkaman mereka yang sedemikian,” tambahnya.

Bagi yang mempertikaikan apa bezanya Pejuang dengan parti-parti lain yang bertanding, jawab Mahathir, partinya itu berbeza kerana terdiri daripada mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

Dia kemudian memberikan contoh Ketua Pejuang Johor, Shahruddin Md Salleh, yang katanya sanggup melepas jawatan dan kedudukan untuk tujuan itu.

“Namun kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir daripada jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri,” katanya dengan menzahirkan keyakinan bahawa ahli parti sentiasa teguh memegang amanah dan tanggungjawab berkenaan.

“Teruskan perjuangan dan jangan sekali-kali kita mundur, tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang,” katanya lagi.