Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekalan ayam kurang: 'Pembekal, penternak, peniaga pening'

Sejak awal minggu lalu, bekalan ayam segar siap diproses makin sukar diperoleh peniaga dan orang ramai di sekitar bandar raya Kuantan.

Jika sebelum ini, harga jualan ditetapkan kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula awal Januari lalu dan berakhir hari ini ialah RM9.10 bagi setiap kilogram, namun bermula esok, harga runcit ayam diturunkan 20 sen kepada RM8.90.

Pengumuman kerajaan mengenai kadar harga baru itu dikatakan menjadi punca ramai peniaga ayam di pasar besar sekitar bandar raya Kuantan berdepan masalah bekalan.

Seorang peniaga, Ali Akhbar Othman, 50, ketika ditemui di Pasar Besar Balok, dekat Kuantan, berkata sejak awal minggu ini dia hanya mendapat 50 peratus bekalan ayam segar berbanding sebelumnya.

"Kebiasaanya saya 'order' antara 70 hingga 80 ekor sehari, tapi sejak beberapa hari lalu, pembekal hanya bagi 40 ekor sahaja.

"Bila saya tanya (pembekal), mereka kata stok tiada dan ini masalah (bekalan) biasa tiap kali kerajaan umum kenaikan atau penurunan harga.

"Bila keadaan ini berlaku, kami pun jadi mangsa, bukan saja pengguna, kita tidak dapat harga seperti dicadangkan kerajaan daripada pembekal, jadi 'margin' keuntungan sangat rendah, kalau nak letak harga tinggi, pengguna pula terbeban, jadi serba salah juga," kata Ali (gambar, bawah) yang sudah berniaga di pasar itu lebih 15 tahun.

Masalah harga ayam di pasaran ketika ini sukar dikawal, katanya kemungkinan kerana faktor kerajaan dan agensi penguatkuasaan yang lemah.

Dakwanya, masalah bekalan dan harga ayam tidak ketara ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

"Saya fikir ia ada kaitan dengan kerajaan juga, kalau tidak stabil, sekejap Muafakat Nasional, sekejap Perikatan Nasional, akhirnya semua pening.

"Pembekal pening, peladang (pengusaha ladang ayam) pening, dan kami (peniaga) pun pening," katanya.

'Harga dari pembekal dah tinggi'

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berkata kerajaan akan terus memberi subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal.

Ini selepas dia mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara mengenai industri pengeluaran makanan, terutamanya ayam dan telur ayam, di Putrajaya pada 31 Jan lalu.

Ismail turut mengumumkan kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling ditetapkan menjadi RM8.90, manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan SHMKM.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam proses, Rokiah Man, 51, berpendapat, langkah kerajaan memperkenalkan SHMKM tidak banyak membantu peniaga kecil sepertinya.

Katanya, menjadi kebiasaan anggota penguatkuasa Kementerian berkaitan melakukan pemeriksaan harga di pasar besar, sedangkan punca kenaikan bermula di peringkat ladang ternakan dan pembekal.

"Kami jual pada harga yang difikirkan sesuai dan memberikan sedikit keuntungan saja, tidaklah kami dapat untung berganda bila letak harga tertentu.

"Harga diberikan oleh pembekal sudah tinggi, walaupun mereka tetapkan antara RM7.80 hingga RM8 sekilogram, terus terang cakap, jarang sangat kami dapat harga itu daripada pembekal," katanya.

Dia turut mendakwa hanya mendapat bekalan 40 ekor ayam sehari, berbanding 70 ekor sebelum ini.

Hasnizawati Zakaria, 40 tahun pula berkata, dia hanya menerima bekalan 40 ekor ayam berbanding 80 ekor sebelum ini.

"Tak sampai tiga jam habis sedangkan pengguna masih mahu mendapatkan bahan mentah itu.

"Saya tidak tahu punca bekalan dihadkan, tetapi ramai peniaga mendakwa pengumuman kerajaan mengakibatkan penternak tidak menghantar bekalan (ayam) seperti sebelum ini," katanya.