Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib: Ceramah bersemuka dah dibenarkan?

Bekas perdana menteri Najib Razak secara sinis meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelaskan apakah larangan berceramah secara semuka serta berkempen sebelum tempoh pilihan raya telah dimansuhkan.

Ia susulan tindakan Bersatu yang mengadakan majlis prapelancaran jentera pilihan raya negeri (PRN) Johor bagi DUN Maharani, Muar malam tadi.

"Rupanya, prosedur operasi standard (SOP) larangan untuk berceramah secara bersemuka sudah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

"Korang (kamu) duduk rapat-rapat tak takut Covid ke?

"Dan larangan untuk berceramah dan berkempen sebelum tempoh kempen yang dibenarkan seperti di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga telah dimansuhkan?" katanya dalam hantaran di Facebooknya, pagi ini.

Sebelum itu Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin memuat naik gambar majlis yang antaranya dihadiri Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan.

Badrul ataupun lebih dikenali sebagai Chegubard melalui Facebooknya memaklumkan lebih 200 jentera Bersatu hadir.

Dalam pada itu, Najib meminta supaya KKM dan SPR tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Wan Saiful: Bukan Umno calonkan Ismail Sabri

Sementara itu, Wan Saiful dalam ucapannya pada ceramah berkenaan mengingatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa sokongan Bersatu terhadapnya bersyarat.

Katanya, pencalonan Ismail yang juga naib presiden Umno dibuat oleh Bersatu dan bukannya Umno.

"Kita kena ingat Ismail menjadi perdana menteri hari ini bukan dicalonkan Umno. Bukan Umno calonkan dia," dia dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu Badrul Hisham berkata pihaknya sedar tentang kelemahan SOP dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa.

"Dari segi SOP kita sedar dan perbaiki namun nak tanya Najib, geng dia buat program ok ke?

"SOP kempen pilihan raya tidak dikeluarkan lagi dan memang kerja Najib kelirukan orang. Dia semua tahu tapi duit masuk akaun dia yang dia habis pakai dia tak tahu," katanya ketika diminta mengulas kritikan Ahli Parlimen Pekan itu.