Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Esscom patahkan kegiatan kumpulan ajaran 'Wali Tujuh'

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan tiga lelaki yang merupakan pendatang tanpa izin disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan 'Wali Tujuh', malam tadi.

Komander ESSCom DCP Hamzah Ahmad berkata suspek ditangkap dalam satu serbuan oleh ESSCom di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan di Kinabatangan.

"Individu tersebut ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan dikenali sebagai 'Wali Tujuh'.

"Beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit antaranya kalendar ramalan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai tangkal telah dirampas," katanya dalam kenyataan di Kinabatangan hari ini.

Menurut Hamzah, berdasarkan risikan awal, kumpulan itu diketuai oleh seorang guru dibantu dua individu dan mula bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta menarik minat penyertaan pekerja ladang, khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.

Menurutnya, setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.

"ESSCom ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baru yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone," katanya.

- Bernama