Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wanita dakwa diperdaya RM109,200 untuk 'komputer riba'

Hasrat seorang wanita mahu membeli tiga komputer riba bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut mendakwa kerugian RM109,200 apabila membayar wang sejumlah itu kepada 'penjual' melalui urusan dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor talian WhatsApp selepas melihat iklan di Instagram pada pertengahan Janu lepas.

"Mangsa tertarik untuk mendapatkan komputer riba itu dan memasukkan wang deposit sebagai tanda persetujuan sebelum diarahkan untuk memindahkkan lebih banyak wang secara dalam talian ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek atas pelbagai alasan.

"Antara alasan yang digunakan ialah untuk kos penghantaran, urusan mengaktifkan kad jaminan, cukai kastam dan untuk melayakkan mangsa menyertai cabutan bertuah.

"Akhirnya tanpa sedar, mangsa membuat bayaran sebanyak 15 kali sehingga berjumlah RM109,200," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa curiga kerana belum menerima komputer riba itu selepas hampir dua minggu berurusan, selain tindakan suspek yang semakin kerap menghubunginya bagi meminta lebih banyak wang sejak beberapa hari lepas.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama