Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hakisan: Penduduk Taman Idaman gesa tindakan sebelum terlambat

Penghuni Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor menyatakan rasa bimbang terhadap hakisan tanah yang berterusan semenjak bulan lepas akan mengakibatkan musibah lebih buruk.

Menurut penduduk, hakisan tanah itu menyebabkan 20 buah rumah jenis teres yang terletak berhampiran kawasan bukit di Lorong Angsana 2, dalam keadaan yang berbahaya.

Salah seorang penduduk Leong Ah Kiew, 55, berkata kejadian tanah runtuh itu berlaku kali pertama pada 20 Disember tahun lepas.

“Selepas hujan lebat tahun lalu di seluruh negara mengakibatkan hakisan tanah itu berlaku.

“Kira-kira 6 pagi, saya dengar bunyi kuat. Saya keluar tengok ada hakisan tanah.

“Memang sangat menakutkan kerana rumah saya tidak jauh daripada tempat hakisan tanah itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Leong berkata penduduk di sini merasa takut sekiranya berlaku tanah runtuh ia akan mengakibatkan kerosakan teruk malahan mungkin kehilangan nyawa.

Seorang lagi, penduduk P Arjunan, 66 berkata bahawa sejak insiden pertama, hakisannya kerap berlaku.

"Penduduk di sini memang risau dan ada yang telah berada dalam siap sedia. Setiap kali hujan kami berasa takut.

"Ada yang telah mengemaskan barang-barang keperluannya sekiranya perkara tidak diingini berlaku," katanya.

'Ada projek di bukit'

Tambahnya, selain Lorong Angsana 2, padang Sekolah Kebangsaan Serendah mungkin akan terjejas juga yang terletak dekat dengan kawasan bukit itu.

Ketika ditanya apakah tindakan pihak penguatkuasa, Arjunan berkata pihak polis bersama pegawai pejabat tanah dan wakil Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah melawat kawasan pada hari kejadian tanah runtuh.

"Mereka datang pada 20 Disember. Meninjau kawasan kami. Terus balik.

"Tapi, sejak itu tidak seorang pun hadir ke sini. Tiada sebarang tindakan keselamatan diambil.

"Kami nak mereka bertindak sebelum terlambat," katanya.

Para penduduk (gambar, atas) juga mendakwa insiden hakisan tanah itu berlaku selepas pelaksanaan 'projek' di kawasan bukit tersebut.

"Kami tidak pasti apa projek di sana. Tapi, ada kerja-kerja korek tanah, membuat jalan. 

"Kami nak pihak berkuasa menghentikan serta-merta projek itu," gesa Arjunan.

Sementara itu, AJK PKR Cabang Hulu Selangor S Sritharan, 53 menggesa Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui untuk turun padang meninjau situasi dengan segera.

"Jangan tunggu sehingga anda diminta hadir atau menunggu sehingga bencana berlaku. Adalah tanggungjawab kamu menyelesaikan isu rakyat," katanya.

Bagaimanapun, June memberitahu Malaysiakini dia akan menangani permasalahan tersebut.

Katanya, pihak majlis sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat.

June turut berkongsi maklumbalas MPHS yang dipanjangkan kepadanya.

"Kes runtuhan telah didaftar untuk permohonan peruntukan segera Pasca Banjir ke pihak Exco Infrastruktur dan Pertanian (Ir Izham Hashim) negeri Selangor.

"Maklumat permohonan telah dihantar ke urusetia Pejabat Daerah. Sekarang ini tunggu kelulusan pihak negeri," kata MPHS dalam kenyataan ringkas itu.

Tambahnya, tanah kawasan bukit itu berstatus tanah kerajaan tetapi bukan rizab warta MPHS.

Malaysiakini juga telah menghubungi Adun Batang Kali Harumaini Haji Omar untuk mendapatkan penjelasan namun masih belum menerima sebarang maklum balas.