Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah benarkan k'jaan tutup dokumen OSA saman Pulau Batu Puteh

Semua eksibit dokumen dan material dalam saman berhubung penarikan rayuan Malaysia pada 2018 terhadap pertikaian mengenai Pulau Batu Puteh dengan Singapura, kini tidak dapat lagi diakses orang awam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan yang dibuat perdana menteri dan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan arahan menutup eksibit tersebut. 

Ini bermakna hanya pihak yang terlibat dalam saman tersebut dan pasukan peguam mereka, saksi pendengaran, dan pihak tertentu dengan kebenaran mahkamah dapat mengaksesnya.

Pada 28 Mei tahun lalu, warga Malaysia Mohd Hatta Sanuri, 45, memfailkan saman terhadap perdana menteri dan kerajaan bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik permohonan semakan itu.

Keputusan penarikan itu dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri di bawah pentadbiran PH.

Menurut salinan permohonan arahan penutupan itu, kerajaan memohon perintah tersebut memandangkan eksibit, yang melibatkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Singapura, dilabel sebagai “Rahsia Besar” di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Kerajaan berhujah yang dokumen dan maklumat yang didedahkan ketika prosiding perlu dilindungi untuk mengelakkan sebarang salah faham dan menjaga hubungan dua hala yang positif antara kedua-dua negara.

Keputusan mahkamah hari ini juga bermakna mana-mana dokumen di bawah OSA tidak lagi boleh diakses orang awam menerusi sistem e-filing dalam talian.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili perdana menteri dan kerajaan, mengesahkan yang Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka menerusi pendengaran dalam talian pagi ini.

Ahmad Hanir berkata, pendengaran hari ini berhubung dua permohonan yang dibuat perdana menteri dan kerajaan.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua permohonan,” katanya ketika dihubungi.

Semakan pada senarai kausa dalam talian menunjukkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 1 Mac ini.

Menurut saman yang difalikan Hatta, dia berkata saman tersebut dibuat bagi pihak dirinya dan 32 juta warga Malaysia.

Dia berkata semua warga Malaysia terkesan dengan tindakan sepihak oleh defendan untuk membatalkan permohonan semakan semula di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tanpa membahaskannya di Parlimen.

Dia juga mendakwa kerajaan belum menjelaskan sebab menarik balik permohonan semakan ICJ berdasarkan bukti-bukti baru yang menyokong pihak Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh.

Dia antaranya memohon mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengenai alasan penarikan permohonan dan untuk pengisytiharan mereka telah cuai dan melanggar kepercayaan semua warga.

Dia meminta pengisytiharan agar defendan membayar sekitar RM10 juta ganti rugi (atau berdasarkan pertimbangan mahkamah selanjutnya) kepada warga Malaysia, yang dihitung berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan kerugian ekonomi yang ditanggung oleh semua rakyat, termasuk kepada dirinya.

Dia juga meminta perintah mahkamah, antara lain, agar defendan mendedahkan secara terperinci jumlah kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menyiapkan permohonan semakan ICJ pada 3 Februari 2017 sehinggalah ke saat para defendan tiba-tiba menarik balik permohonan tersebut seperti yang disahkan oleh ICJ pada 1 Jun 2018 .

[Baca berita asal]