Maszlee: Siasatan SPRM usaha pembunuhan karakter menjelang PRN
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam rasuah dan mendakwa siasatan SPRM terhadapnya adalah cubaan untuk mencemarkan nama baiknya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.
"Saya telah membaca laporan Malaysiakini bertarikh 30 Jan 2022 berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini. Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.
"Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu disebut-sebut sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk mengetuai kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
"Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib OKU, nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta," tambahnya.
Maszlee sebelum ini mendakwa pegawai SPRM menakut-nakutkan kakitangannya berikutan penglibatannya dalam demonstrasi terhadap Ketua Pesuruhanjaya Azam Baki.
Semalam, SPRM berkata ia sedang menyiasat Maszlee selepas menerima dua laporan terhadapnya.
SPRM tidak mendedahkan sebab siasatan dalam kenyataannya mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan Malaysiakini bahawa siasatan itu adalah berhubung dakwaan rasuah semasa Maszlee menjadi menteri pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.
Maszlee didakwa telah menerima wang daripada pembekal kementerian yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.
Dia juga didakwa menerima sebuah Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai