Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Syarikat Asean niaga di Myanmar subahat kekejaman junta tentera'

Asean mungkin perlu melaksanakan sekatan ekonomi bersasar terhadap junta Myanmar, kata bekas menteri luar Thailand Kasit Piromya, bercakap atas kapasitinya sebagai sebahagian daripada Kumpulan Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR).

“Terdapat banyak lagi yang boleh dilakukan di rantau ini untuk menolak junta di Myanmar, yang terus ditolak setiap hari oleh rakyatnya yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk berbuat demikian.

“Sekatan ekonomi bersasar adalah penting. Sejak beberapa dekad yang lalu, junta telah mengumpul kekayaan yang besar untuk dirinya sendiri, melalui cara yang sah dan tidak sah, dan dana ini digunakan untuk melakukan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap rakyatnya.

"Mana-mana syarikat - di Asia Tenggara atau rantau lain - yang menjalankan perniagaan dengan junta tentera turut sama besubahat dalam kekejaman ini, termasuk menembak mati wanita dan kanak-kanak, membakar orang hidup-hidup, dan banyak lagi perbuatan mengerikan," kata Kasit yang berkhidmat sebagai menteri luar Thai dari 2008 hingga 2011.

Dia memberitahu Malaysiakini melalui wawancara e-mel bahawa mustahak untuk menyasarkan dana junta tentera sebagaimana Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Kesatuan Eropah yang telah mengenakan sekatan terhadap entiti junta tentera berkenaan, maka kerajaan Asean juga perlu melakukan perkara yang sama.

Bekas menteri luar Thailand Kasit Piromya.

“Apa yang berlaku di Myanmar bukan sekadar isu domestik, tetapi isu serantau, dan kita sudah melihat kesan yang lebih luas daripada krisis itu berlaku di Asia Tenggara dan lebih jauh lagi.

"Thailand, Laos, China, India dan Bangladesh adalah antara yang terjejas akibat meningkatnya keadaan sempadan yang tidak selamat akibat krisis itu,” katanya.

Kunjungan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen baru-baru ini merupakan satu langkah unilateral ketika ulang tahun pertama rampasan kuasa berdarah di Myanmar semakin hampir.

Insiden diplomatik Kemboja-M'sia

Sejak rampasan kuasa, sekurang-kurangnya 1,300 orang telah dibunuh oleh junta dan lebih 10,000 telah ditangkap manakala pemimpin yang dipilih secara demokrasi Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun awal bulan ini.

Lawatan Hun Sen itu menimbulkan insiden diplomatik apabila Menteri Luar Saifuddin Abdullah menyatakan keraguan terhadap keputusan Hun Sen untuk melawat Myanmar pada 7 Januari lalu semasa mempengerusikan blok itu.

Kata Saifuddin, lawatan pengerusi Asean itu berisiko ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap pemimpin junta yang melancarkan rampasan kuasa.

Saifuddin mencadangkan Hun Sen sepatutnya mendapatkan maklumat daripada rakan sejawat Asean terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Hun Sen kemudian mempertahankan kunjungannya ke Myanmar dan menegur Saifuddin yang didakwanya "kurang sopan" dan "tidak boleh terlalu angkuh dengan kenyataan yang tidak sesuai".

Susulan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Jan lalu telah mengadakan satu persidangan video dengan rakan sejawatannya dari Kemboja itu.

Wisma Putra berkata perbualan itu adalah atas permintaan daripada pihak Kemboja.

Pun begitu, Ismail Sabri menyatakan sokongan Malaysia kepada Kemboja selaku pengerusi Asean 2022 tetapi juga menekankan bahawa pendirian Putrajaya mengenai Myanmar kekal tidak berubah.

Ismail Sabri menekankan keperluan untuk meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

Dia turut menggesa dialog politik melibatkan semua pihak berkaitan serta pembebasan tanpa syarat kepada semua tahanan politik termasuk Aung Sang Suu Kyi dan bekas presiden U Win Minyt.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, yang juga pengerusi APHR berkata lawatan itu menunjukkan beberapa kelemahan dalam struktur Asean.

Katanya, Hun Sen, sebagai pengerusi tahun ini, boleh memilih secara unilateral untuk melawat Myanmar dan mengeluarkan kenyataan bersama pemimpin rampasan kuasa Jeneral Min Aung Hlaing.

Dia memberitahu Malaysiakini ia langkah yang berisiko menjejaskan kemajuan terhad Asean sehingga ke tahap ini.

“Tindak balas Asean terhadap rampasan kuasa adalah sangat tidak sempurna, tetapi terdapat beberapa bidang kemajuan, termasuk Konsensus Lima Perkara, yang tidak boleh dilupakan bahawa (jeneral) Min telah bersetuju, serta keputusan untuk melarang wakil junta daripada mesyuarat peringkat tinggi kerana kekurangan kemajuan terhadap konsensus itu.

“Cukup menggalakkan untuk melihat pemimpin negara anggota lain, termasuk Malaysia dan Singapura, mengingatkan Hun Sen mengenai keperluan untuk berpegang pada Konsensus itu dan kami gembira melihat perdana menteri Kemboja itu kembali kepada pendekatan asal yang telah dipersetujui oleh Asean,” katanya.

Charles menjelaskan di sebalik kelemahannya, Asean mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.

Dia berharap mulai sekarang Hun Sen akan bekerjasama rapat dengan negara anggota Asean lain dan memastikan pemimpin junta Myanmar bertanggungjawab terhadap konsensus itu dan berusaha untuk menamatkan keganasan tentera.

[Baca berita penuh]