Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Maszlee siap tempur di Johor jika diminta pimpinan

PRN JOHOR | Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata dia bersedia untuk bertanding pada pilihan raya Johor akan datang, jika diminta oleh pemimpin parti.

Jelasnya, setakat ini dia belum menerima arahan sedemikian setakat ini.

“Saya yang penting ialah untuk memenangkan PH di Johor bermula di Simpang Renggam. 

"Kalau ianya memerlukan kepada saya bertanding dan itu arahan parti, saya akur," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Namun, kata Maszlee dia telah melancarkan jentera pilihan raya semalam untuk dua DUN di dalam parlimen Simpang Renggag — Layang-Layang dan Machap.

Bekas menteri pendidikan era PH itu berkata keazaman PH untuk memenangi pilihan raya negeri Johor akan bermula dengan kerusi di Simpang Renggam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan PKR bercadang untuk meletakkan Maszlee di kerusi DUN Layang-Layang dan namanya turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar jika gabungan itu menang PRN Johor.

Bagaimanapun, Maszlee memperkecilkan spekulasi dirinya akan menjadi calon PKR dan Pakatan Harapan untuk menjadi menteri besar Johor.

Maszlee dipecat daripada Bersatu pada 2020 selepas membantah keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk mengeluarkan parti itu daripada gabungan PH.

Dia kemudian menyertai Pejuang selama beberapa bulan sebelum meletak jawatan untuk menjadi ahli parlimen bebas dan pada akhir tahun lepas, Maszlee menyertai PKR pula.

Ketika ditanya jika dia boleh meyakinkan Pejuang untuk bersama PH semasa pilihan raya Johor, katanya, dia tidak berada dalam kedudukan untuk menjawab soalan sedemikian.

"Saya tidak fikir saya berada dalam kedudukan untuk menjawabnya.

"Pihak terbaik untuk menjawab soalan itu adalah mereka yang mewakili kepimpinan PH dan majlis presiden (PH)," katanya