Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesan Khaled buat PAS: Berhentilah berpura-pura

Sehari selepas diumpamakan seperti itik yang patah kaki dan bertindak secara “tidak bermoral”, Umno hari ini mengakui kehebatan PAS dalam politik di negara ini.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata memang PAS sebuah parti yang besar serta hebat. Justeru katanya dia berharap kekuatan dan kehebatan PAS berkenaan dapat dibuktikan pada PRN Johor tidak lama lagi.

Pun begitu, bekas menteri besar Johor itu mengingatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Umno-BN tidak akan menumpang kehebatan dan kekuatan PAS tersebut.

Dengan langkah diambil Umno itu, tambahnya, Abdul Hadi tidak wajar memarahi mereka.

Khaled juga mengingatkan Abdul Hadi dan PAS bahawa "kluster mahkamah" tidak ada kena-mengena dengan PRN Johor. Bahkah Khaled berkata, dia sendiri berpendirian isu mahkamah membabitkan pemimpin Umno wajar ditangani di mahkamah.

"Cuma, hakikatnya, kerajaan Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.

"Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN.

"Kita tidak boleh terus-menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat," katanya.

Jemput DAP, Amanah juga

Semalam Abdul Hadi berkata PRN di Johor berpunca daripada percaturan berkaitan "kluster mahkamah" dan tidak wajar diadakan pada ketika ini.

Duta khas bertaraf menteri itu juga mengibaratkan Umno sebagai itik patah kaki yang kini mahu berenang bersendirian selepas 'dirawat' PAS sesudah pilihan raya umum (PRU) pada 2018 lalu.

Abdul Hadi juga berkata, Muafakat Nasional (MN) tidak boleh hanya melibatkan parti Melayu seperti Umno dan PAS sebaliknya mesti memperlihatkan kemajmukan masyarakat Malaysia.

Kenyataan itu adalah antara kritikan terbaru dibuat PAS ke atas Umno ketika PRN Johor semakin menghampiri.

Khaled berkata mungkin PAS dan Abdul Hadi gemar dengan pendekatan politik melalui percaturan sesetengah orang dan menafikan hak rakyat untuk mengundi, ia adalah amalan tidak matang serta gagal menyantuni prinsip demokrasi yang jujur.

Khaled juga berkata, sehingga kini dia tidak faham bagaimana Perikatan Nasional (PN) dan MN merupakan agenda kemajmukan ketika BN sendiri - yang sudah dianggotai parti pelbagai kaum - dianggap Abdul Hadi sebagai tidak relevan.

"Apa-apa pun, dalam keseriusan Tan Sri (Abdul Hadi) untuk menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan MN, saya harap jangan lupa untuk turut menjemput PAN (Amanah) dan DAP bersama.

"Barulah benar-benar majmuk," katanya.