Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kaki katak dipotong tumbuh balik lepas rawatan 5 jenis dadah - Kajian

GLOBAL | Sesetengah binatang memiliki keupayaan untuk menumbuhkan semula anggota badannya, seperti cicak, cacing pipih dan tapak sulaiman.

Para saintis telah lama mengkaji keupayaan ini bagi tujuan perubatan untuk menumbuhkan semula anggota badan jutaan pesakit yang dipotong bahagian tubuhnya, termasuk untuk pesakit diabetik dan kecederaan lain.

Penyelidik di Amerika Syarikat berkata mereka dapat mencetuskan pertumbuhan semula kaki sejenis katak yang dipotong.

Kejayaan ujikaji terhadap 115 ekor katak betina spesis dari Afrika (Xenopus laevis) itu disifatkan para penyelidik bekenaan sebagai "langkah semakin hampir untuk mencapai matlamat perubatan janaan semula."

Teknik digunakan oleh pasukan saintis yang berpangkalan di Institut Wyss Universiti Harvard dan Universiti Tufts itu, melibatkan penggunaan campuran lima jenis dadah pada bahagian kaki katak ujian yang dipotong dan dimasukkan ke dalam bioreaktor berupa kubah silikon kecil dinamakan "Biodome."

Dadah itu hanya digunakan selama 24 jam, tetapi selepas 18 bulan, anggota badan katak itu tumbuh dan hampir berfungsi sepenuhnya.

Katak, yang hidup di dalam air itu, kata kajian itu dapat berenang dan bertindak balas terhadap sentuhan. Anggota badan katak yang tumbuh nampaknya boleh bergerak dengan deria untuk merasa serta berupa kaki asal.

Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal akademik AS, Science Advances minggu ini.

Pasukan itu berkata fakta menunjukkan pendedahan singkat terhadap dadah yang menggerakkan pertumbuhan semula selama berbulan-bulan itu menunjukkan bahawa katak - dan mungkin haiwan lain - mempunyai keupayaan menjana semula tubuh.

Strategi yang digunakan oleh pasukan itu adalah untuk menjadi pemangkin terhadap mekanisme tidak aktif dalam badan katak dan bukannya cuba "menguruskan pertumbuhannya secara mikro."

"Kaki mereka tidak sempurna dari segi kosmetik, tetapi ia kaki yang sangat baik," kata pengarang kajian Mike Levin, Profesor Biologi Vannevar Bush dan pengarah Pusat Allen Discovery Center di Universiti Tufts.

"Saya fikir cara untuk benar-benar mencapai perubatan penjanaan semula adalah dengan mengeksploitasi kecerdasan kolektif sel-sel badan.

"Mereka (sel) sudah tahu cara membina semua organ ini. Mereka melakukannya semasa perkembangan embrio. Semua maklumat itu masih ada.

"Bagi saya, matlamatnya adalah untuk mengenal pasti pencetus, jenis rangsangan yang sangat mudah, yang akan memulakan sel dan meyakinkan mereka untuk membina apa sahaja yang anda mahu mereka bina," jelas Levin.

Dadah tersebut, menurutnya termasuk molekul yang penting untuk perkembangan anggota badan atau yang mempunyai sifat anti-radang.

Levin berkata ia adalah campuran dadah pertama yang mereka uji serta ada kemungkinan gabungan dadah dan faktor pertumbuhan yang berbeza boleh memberikan hasil yang lebih baik.

Ujikaji selanjutnya dijangka akan dilakukan terhadap haiwan mamalia, tikus makmal.