Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah arah Najib kemuka permohonan lantik Peguam Diraja sebelum 20 Mei

Mahkamah Persekutuan memberi tempoh sehingga 20 Mei kepada Najib Razak untuk memfailkan permohonan agar Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK) mewakili dirinya dalam rayuan kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Persekutuan memberikan arahan itu kepada peguam Najib semasa pengurusan kes rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah berkenaan.

Sebelum ini, Najib dilapor memohon peguam diraja dari United Kingdom itu mengemukakan rayuan bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan mendapatkan kepakaran QC kerana isu kerumitan dan persoalan undang-undang dalam kes rayuan itu.

Pangkat peguam diraja dianugerahkan Ratu Elizabeth II kepada peguam yang menunjukkan kepakaran dan kemahiran tertentu di mahkamah.

Ketika dihubungi media pagi ini, timbalan pendakwa raya (DPP), Mohd Ashrof Adrin Kamarul, yang mewakili pihak pendakwaan, mengesahkan keputusan pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan hari ini.

“Bagi rayuan utama (permohonan Najib membatalkan keputusan SRC), pengurusan kes seterusnya adalah pada 25 Feb 2022 jam 3 petang, dengan arahan kepada perayu (Najib) untuk memfailkan permohonan mereka untuk memasukkan QC selewat-lewatnya 20 Mei 2022 .

"Perbicaraan untuk memasukkan (QC) secara tentatif ditetapkan pada tarikh antara 20 hingga 24 Jun. Tarikh pendengaran sebenar akan disahkan pada pengurusan kes seterusnya," kata Ashrof.

Peguambela Syahirah Hanapiah mewakili Najib dalam pengurusan kes hari ini.

Selain Ashrof, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP V Sithambaram.

Pada masa ini, Najib memohon rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC, manakala satu lagi berhubung permohanan untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan utama.

Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi rayuannya dalam kes SRC.

Sehari selepas itu (8 Dis), Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes berkenaan.

Sebelum ini SRC yang merupakan anak syarikat 1MDB, merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.