Demo anti-Azam Baki: Lebih ramai wakil rakyat, aktivis dipanggil polis
Pihak polis akan menyiasat lebih ramai wakil rakyat dan aktivis susulan penglibatan mereka dalam protes mengecam ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Ia melibatkan anggota dan pemimpin parti PKR, DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Setakat laporan ini ditulis, empat anggota parlimen telah dipanggil polis, iaitu Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Teresa Kok (Seputeh).
Enam ahli Muda yang disiasat itu adalah Amira Aisya Abd Aziz, Luqman Long, Dr Thanussha Francis Xavier, Tarmizi Anuwar, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal dan Aneesa Nizam.
Semalam, AJK Pusat PSM S Arutchelvan melalui ciapan di Twitter berkata pihak polis hadir di rumahnya untuk menyoalnya mengenai protes jalanan itu.
Pada masa sama, polis turut memanggil tiga pemimpin akar umbi Pejuang berhubung perkara yang sama iaitu ketua pejuanita muda Dr Nurul Ashikin Mabahwi, ketua pejuanita muda Negeri Sembilan, Siti Fairuz Mohd Fadzil and naib pejuanita muda Negeri Sembilan Nurhasanah Dayana Mohd Jimy.
Susulan daripada tindakan terhadap siasatan ini, jawatankuasa demonstrasi #TangkapAzamBaki mengkritik polis kerana menggunakan ugutan terhadap mereka.
“Hampir 50 aktivis belia telah dipanggil untuk siasatan oleh polis.
“Jawatankuasa melihat siasatan ini sebagai satu bentuk ugutan, keterlaluan dan pembaziran sumber polis. Apa yang patut disiasat ialah skandal saham Azam dan adiknya”, kata mereka dalam satu kenyataan.
Polis telah pun melakukan beberapa soal siasat sebelum ini.
Pada Isnin lalu, pihak polis telah menyoal 12 individu - termasuk pimpinan pemuda Pakatan Harapan - berhubung satu majlis ceramah pada 21 Januari yang menggesa Azam meletak jawatan.
Dua hari sebelum demonstrasi itu bermula, pihak polis telah menyiasat aktivis pelajar yang juga ahli PKR, Adam Adli berhubung demonstrasi tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai