Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K’jaan haramkan produk tembakau bagi mereka yang lahir selepas 2005

Kerajaan merancang untuk mengharamkan produk tembakau terhadap generasi akan datang dengan melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005, menurut satu laporan.

Laporan dari laman berita berkaitan kesihatan CodeBlue semalam berkata ini bermakna golongan yang berusia 17 tahun hari ini tidak akan dapat membeli produk tersebut secara sah dari segi undang-undang apabila mereka mencapai umur tertentu untuk merokok tahun depan.

“Kita seperti di beberapa negara Pasifik Barat yang lain, berharap untuk meluluskan undang-undang tersebut pada tahun ini, yang akan membawa satu pengkahiran kepada generasi merokok dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok yang lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005," kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata.

Dia juga dilaporkan berkata demikian pada sesi ke-150 pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Geneva.

"Malaysia merasakan ini akan memberi kesan yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD (penyakit tidak berjangkit)," katanya.

Laporan itu menyatakan bahawa terdapat lebih 27,200 kematian berkaitan merokok dilaporkan di Malaysia setiap tahun.

Sebagai perbandingan, terdapat 31,058 kematian Covid-19 yang disahkan tahun lepas, yang menjadikan sebagai kemungkinan punca utama kematian pada 2021.

Sementara itu, menurut CodeBlue, Khairy sebelum ini berkata dia akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok terbaru dalam mesyuarat Parlimen akan datang, yang akan menggantikan undang-undang kawalan tembakau sedia ada di bawah Akta Makanan 1983.

Undang-undang baru itu juga akan mengawal selia e-rokok dan produk vape.

Larangan merokok berdasarkan generasi akan sama seperti rancangan New Zealand untuk menaikkan umur merokok yang sah di sisi undang-undang sebanyak setahun, setiap tahun, mulai 2027 – yang pada dasarnya memastikan produk tembakau dilarang kepada golongan yang lahir selepas 2008.