Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Laporan: Ketua Umno Bukit Bintang dilantik jadi pengerusi Pharmaniaga

Ketua Umno Bukit Bintang Zainal Abidin Mohd Rafique dilantik sebagai pengerusi Pharmaniaga Bhd, menggantikan Shazalli Ramly yang kini menjadi pengarah bukan bebas syarikat itu.

Menurut laporan The Edge Markets, Pharmaniaga mengumumkan perubahan itu, yang berkuat kuasa 1 Februari ini, dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini.

"Kumpuluan syarikat tidak mengulas lanjut berhubung perubahan itu.

"Bakal pengerusi Zainal Abidin, yang merupakan ketua Umno Bukit Bintang, pada masa ini memegang beberapa jawatan pengarah, antaranya di Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, Clock Tower Hotel Sdn Bhd, dan QI - pmc Sdn Bhd," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan Shazalli dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Pharmaniaga pada 1 Mac tahun lalu, hanya tiga bulan setelah dia dilantik sebagai pengarah urusan Boustead Holdings Bhd.

Pada hari sama, Pharmaniaga turut mengumumkan penukaran jawatan Zulkifli Jaafar daripada pengarah bebas kepada pengarah eksekutif.

Pharmaniaga Berhad adalah syarikat berkaitan kerajaan dengan tumpuan antara dalam pengedaran produk perubatan dan farmaseutikal serta pengilangan produk farmaseutikal generik.

Syarikat itu juga pengedar tunggal vaksin Covid-19 Sinovac di Malaysia.