Gelombang Omicron sudah bermula di negara ini
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan gelombang Omicron sudah bermula di negara ini.
Dia juga memberi amaran bahawa kes Covid-19 berkaitan varian itu akan naik, namun yakin keadaan dapat dikawal dengan baik.
"Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun insya-Allah (keadaan akan) terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi," katanya melalui ciapan di media sosial semalam.
Setakat 25 Jan lalu secara keseluruhan negara ini sudah mengesan 601 kes Covid-19 yang ada kaitan dengan varian Omicron. Daripada jumlah itu, 90 peratus - atau 545 kes - adalah diimport.
Bagaimanapun, terdapat 56 kes penularan tempatan dengan 34 daripadanya dilaporkan di Sarawak, dan 12 di Selangor.
Kes penularan tempatan juga dilaporkan di Kedah, Labuan - dengan masing-masing empat kes - serta bagi dua lagi di Sabah.
Kata Khairy keyakinannya untuk melihat gelombang Omicron itu dapat dikawal dibuat berdasarkan kepada kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.
"Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini," katanya.
Negara sedang giat memberikan dos penggalak kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan imuniti terhadap Covid-19.
Semalam sebanyak 4,744 kes Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan ia merupakan yang tertinggi sejak 11 Dis tahun lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai