Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lim: Isu Azam akan burukkan lagi kedudukan M'sia dalam indeks rasuah

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa tindakan diambil susulan kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI).

Lim juga mengingatkan kedudukan itu akan terus merosot dengan kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa ini.

Dia membangkitkan kedudukan CPI 2021 belum mengambil kira kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Kabinet perlu menolak kenyataan SPRM mengenai kejatuhan lima markah dan 11 anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah TI 2021 berbanding dengan 2019, dua tahun terburuk dalam sejarah 27 tahun penerbitan TI CPI dan juga memecat Azam atas kegagalan dan prestasi buruknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

“Masa telah tiba untuk negara melantik ketua pesuruhjaya SPRM baru yang mempunyai penunjuk prestasi utama (KPI) antaranya untuk meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas kedudukan Malaysia dalam indeks itu, SPRM berkata akan mengkaji perkara itu dan akan memberikan cadangan dalam masa terdekat.

Namun Lim berkata SPRM mesti diingatkan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang “hanya sekadar bersifat untuk menyedapkan hati”.

“Prestasi Malaysia dalam TI CPI 2021 tidak mengambil kira skandal Azam yang menggegarkan negara selama hampir sebulan, kerana ia merupakan perkembangan yang terlalu baru untuk dijadikan input dalam indeks itu.

“Ketua-ketua dalam SPRM harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk negara dalam TI CPI selama dua tahun berturut-turut - 2020 dan 2021,” katanya lagi.

Lim Kit Siang

Mengulas lanjut berkenaan Azam, Lim berkata keengganannya keengganannya untuk dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bukanlah contoh integriti, kejujuran dan kebertanggungjawaban.

Azam menjadi perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 unit saham Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, yang bernilai RM772,000 pada masa itu.

Pegangannya kemudian berkurang kepada 1,029,500 unit setakat 31 Mac 2016 (bernilai RM340,000 pada masa itu).

Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan pada dua tahun itu membangkitkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya selaku penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Januari, Azam tidak menyangkal pemilikan itu tetapi mendakwa ia dibeli oleh adiknya dengan menggunakan namanya.

Saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada adiknya.

Lim berkata lagi, jika Azam akan dipanggil oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen, dia juga perlu ditanya tentang kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI TI ketika dia memimpin SPRM.

“Selepas dua tahun terburuk dalam TI CPI untuk 2020 dan 2021, Malaysia menjangkakan Kabinet akan bertindak.

“Atau adakah Kabinet sekali lagi akan berkelakuan seperti kisah tiga ekor monyet...yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak bercakap,” katanya lagi.