Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN Johor: Muda akan putuskan isu kerjasama, pencalonan Syed Saddiq

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sebarang keputusan berhubung pendirian parti itu dalam mendepani PRN Johor akan dibuat secara bersama di kalangan pimpinannya.

Syed Saddiq berkata, ia termasuk dalam soal jika dia akan turut bertanding atau tidak.

"Ini bukan parti Syed Saddiq. Ini parti untuk semua warga Malaysia dan pimpinan Muda akan membincangkannya bersama-sama," katanya kepada pemberita di luar balai polis Dang Wangi hari ini.

"Strategi dalaman akan dibincangkan secara bersama oleh pimpinan Muda.

"Apa yang jelas untuk Johor, Muda perlu buat keputusan secara kolektif. Nasib saya, nasib parti dibincang bersama-sama," kata ahli parlimen Muar itu lagi.

Berhubung hasrat PH agar semua parti pembangkang bekerjasama di kesemua 56 kerusi DUN di Johor, Saddiq juga berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat parti malam ini.

Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu penting bagi memastikan Umno dan BN dikalahkan.

Pada Sabtu lalu, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata gabungan itu telah melibatkan Muda dalam perbincangan berhubung kemungkinan kerjasama dalam PRN Johor.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani juga memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya sedang dalam rundingan awal bagi menentukan kerusi yang akan ditandingi mereka.

Ditanya berkenaan perkara itu, Saddiq menegaskan Muda akan memutuskan pendirian sendiri demi penduduk Johor.

"Untuk memastikan Johor menjadi tempat bermulanya pembangunan dan kemajuan sebenar di seluruh Malaysia, dan PRN Johor perlu menjadi penanda aras itu," katanya sambil menambah keputusan Muda akan diumumkan tidak lama lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Setiausaha Agung Muda Amira Aisha dipanggil memberi keterangan berhubung penyerahan memorandum berhubung isu banjir dan perubahan iklim di luar bangunan Parlimen Khamis lalu.