Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM hubungi Hun Sen susulan label Saifuddin 'angkuh'

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan satu persidangan video dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen selepas dia melabelkan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah sebagai "angkuh".

Wisma Putra berkata perbualan itu adalah atas permintaan daripada pihak Kemboja.

Menurut kenytaan itu, Ismail Sabri menyatakan sokongan Malaysia kepada Kemboja selaku pengerusi Asean 2022 tetapi juga menekankan bahawa pendirian Putrajaya mengenai Myanmar kekal tidak berubah.

Saifuddin minggu lalu menyatakan keraguan terhadap keputusan Hun Sen untuk melawat Myanmar pada 7 Januari lalu semasa mempengerusikan blok itu, yang berisiko ditafsirkan sebagai pengiktirafan Asean terhadap pemimpin junta yang melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi tahun lalu.

Saifuddin mencadangkan Hun Sen sepatutnya mendapatkan maklumat daripada rakan sejawat Asean terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Hun Sen dalam panggilan telefon pada hari Jumaat dengan Presiden Indonesia Joko Widodo mempertahankan kunjungannya ke Myanmar dan menegur Saifuddin yang didakwanya "kurang sopan" dan "tidak boleh terlalu angkuh dengan kenyataan yang tidak sesuai".

Wisma Putra, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Ismail Sabri menekankan keperluan untuk meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

Dia turut menggesa dialog politik melibatkan semua pihak berkaitan serta pembebasan tanpa syarat kepada semua tahanan politik termasuk Aung Sang Suu Kyi dan U Win Minyt.

Perdana Menteri Malaysia itu juga memberikan komitmennya untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan Asean kepada rakyat Myanmar.

“Berhubung keputusan Asean untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi Asean, Malaysia menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara.

“Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Asean dan pegawai-pegawai kanan Asean, kata Wisma Putra.

Kemuafakatan Lima Perkara itu ialah: menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak yang berkenaan, memberikan bantuan Asean kepada Myanmar, melantik utusan khas Asean untuk mengadakan perbincangan, dan membenarkan utusan itu melawat negara berkenaan.

Ia telah diwujudkan semasa Brunei adalah pengerusi Asean. Jawatan pengerusi digilirkan setiap tahun dan Kemboja ialah pengerusi semasa.

Wisma Putra berkata Ismail Sabri, dalam perbualannya dengan Hun Sen, turut mengesahkan pendirian Malaysia mengenai keperluan untuk utusan khas pengerusi Asean ke Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan ke arah mencari penyelesaian secara aman.