Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Undi18 gesa lebih ramai anak muda dicalonkan dalam PRN Johor

Setelah berjaya dalam kempen pendaftaran pemilih automatik dan penurunan had umur layak mengundi, gerakan Undi18 menggesa parti politik agar melibatkan lebih ramai anak muda sebagai calon dalam PRN Johor akan datang.

Dalam kenyataannya hari ini, Undi18 berkata ini kerana dijangka ada hampir 750,000 pengundi baru - termasuk 175,000 yang berusia 18 hingga 20 tahun - berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwartakan pada 14 Januari lalu.

“Parti politik yang bertanding disaran untuk menampilkan muka calon yang baru, khususnya dalam kalangan anak muda, untuk terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratus besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini," kata kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Undi18 turut menyeru belia di Johor yang mencapai usia 18 tahun dan ke atas untuk mengambil peluang ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan belia, Undi18 berkata mereka akan melancarkan inisiatif #UndiJohor sebagai platform bagi menggalakkan penglibatan golongan itu, secara langsung mahupun tidak langsung, bagi membudayakan amalan demokrasi.

"Undi18 akan memberikan dinamik baru dalam sistem demokrasi negara dengan penglibatan rakyat yang lebih besar dan bakal menjadi penanda aras penting sentimen anak muda dalam pilihan raya yang akan datang," kata kumpulan itu.

Beberapa penganalisis sebelum ini menimbulkan keraguan berhubung impak Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, dengan membangkitkan kemungkinan peratusan keluar mengundi rendah.

Jangkaan itu sebahagiannya berdasarkan PRN Melaka November lalu dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 65.85 peratus, iaitu lebih rendah daripada tiga pilihan raya sebelumnya.

Peratusan keluar mengundi yang rendah secara tradisinya memberi manfaat kepada BN kerana gabungan itu mempunyai asas sokongan yang lebih kuat dengan pengundi yang lebih tua lebih cenderung untuk keluar mengundi.