S'wak jadi pengajaran, Loke gesa pembangkang bersatu di PRN Johor
Dengan PRN Johor bakal menjelang, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mencadangkan rancangan dibuat untuk pembangkang bersatu menghadapinya.
Dia membangkitkan pengajaran daripada PRN Sarawak bulan lalu yang menyaksikan pembangkang bertembung sesama sendiri sehingga memecahkan undi pembangkang.
“Jadi, kita harap konsensus dapat dicapai untuk menyatukan semua pembangkang untuk berdepan BN dan PN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Seremban.
Loke berkata majlis presiden PH akan bermesyuarat hari ini untuk menentukan hala tuju bagi PRN Johor.
Namun, katanya lagi, agihan kerusi tidak akan dibincangkan hari ini.
Terdahulu, Presiden Amanah Mohamad Sabu juga menggesa agar pembangkang bersatu untuk menghadapi PRN itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah membayangkan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Muda, walaupun perinciannya belum dimuktamadkan.
“Secara prinsip, kita setuju untuk bekerjasama tetapi sejauh mana, ia belum ditentukan,” katanya, sambil menekankan perbincangan masih di peringkat awal.
Puah juga berkata PKR akan bertanding di lebih banyak kerusi memandangkan Bersatu tidak lagi bersama PH, memberi lebih ruang untuk gabungan pembangkang berunding dalam soal kerusi.
Pada PRU18, Bersatu bertanding di 18 kerusi DUN di Johor.
DUN Johor dibubarkan pada Sabtu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh pilihan raya dalam masa terdekat.
Loke menjangka ia akan diadakan sebaik selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Dia mengingatkan yang BN turut membubarkan Parlimen pada hari ketujuh sambutan itu pada 2008 dan dihukum oleh pengundi.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad memohon untuk membubarkan DUN walaupun pentadbiran BN-PN tidak berdepan sebarang ancaman akan diruntuhkan.
Dia berkata langkah itu agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar, berbanding kelebihan satu kerusi sebelum ini.
Bagaimanapun ia dilihat sesetengah pihak sebagai mengambil peluang terhadap kelemahan pembangkang serta menyingkirkan PN daripada pentadbiran negeri.
PH kekal dianggap sebagai kuasa pembangkang utama namun Pejuang telah membayangkan untuk turut bertanding. Begitu juga dengan Muda dan Warisan.
PRN Johor juga merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai