Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP DAP pertahan Saifuddin lepas dikritik 'sombong' oleh PM Kemboja

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membela Menteri Luar Saifuddin Abdullah, dengan mengatakan bahawa dia tepat apabila mempertikai dasar diplomasi Perdana Menteri Kemboja Hun Sen terhadap Myanmar.

“Bukan sahaja Hun Sen bertemu dengan pemimpin rampasan kuasa Min Aung Hlaing, tetapi juga mengeluarkan kenyataan dan rancangan bersama yang jelas direka untuk memintas konsensus yang dicapai pada April oleh semua anggota Asean.

"Lebih mengejutkan, lawatan Hun Sen hadir beberapa hari selepas pembunuhan beramai-ramai malam Krismas tentera yang kejam terhadap berpuluh-puluh orang awam di timur Myanmar," kata Charles dalam satu kenyataan, sambil menyatakan bahawa pembunuhan itu dilaporkan sebagai sangat tidak berperikemanusiaan.

Charles berkata bahawa tindak balas Asean terhadap cubaan rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Myanmar yang dipilih secara demokrasi adalah jauh dari sempurna, tetapi beberapa kemajuan telah dicapai, yang mana lawatan Hun Sen berisiko menjejaskannya.

"Kunjungan mesra Hun Sen dengan pemimpin rampasan kuasa berisiko memusnahkan kemajuan ini sepenuhnya, namun apa yang dicapainya?

"Dalam beberapa jam selepas Hun Sen membuat kunjungan itu, terdapat laporan mengenai serangan terhadap kawasan awam di sempadan dengan Thailand; kemudian, dalam beberapa hari, hukuman penjara Aung San Suu Kyi dilanjutkan berdasarkan tuduhan yang direka," kata Charles, yang juga pengerusi Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia.

Hun Sen sendiri telah terlibat dalam landskap politik Kemboja selama hampir 4 dekad yang lalu dan telah dituduh menipu pilihan raya, memenjarakan lawan dan membungkam kebebasan bersuara.

Pada hari Jumaat, dia mengkritik Saifuddin kerana "sombong dan tidak sopan" selepas menyuarakan kebimbangan mengenai pertemuan kontroversinya dengan junta Myanmar.

Saifuddin minggu lalu berkata beberapa anggota Asean mempunyai keraguan tentang lawatan Hun Sen pada 7 Jan ke Myanmar semasa mempengerusikan blok itu, yang berisiko ditafsirkan sebagai pengiktirafan Asean terhadap pemimpin rampasan kuasa.

Saifuddin mencadangkan Hun Sen sepatutnya mendapatkan maklumat daripada rakan sejawat Asean terlebih dahulu.

Hun Sen dalam panggilan telefon pada hari Jumaat dengan Presiden Indonesia Joko Widodo mempertahankan kunjungannya ke Myanmar dan menegur Saifuddin, kemudian menyiarkan perbualan itu dalam media kerajaan Kemboja.

Charles menegaskan bahawa Malaysia tidak bersendirian dalam pendiriannya.

“Selain Malaysia, negara anggota Asean lain, termasuk Singapura, telah mengkritik pendekatan Hun Sen, menyeru agar pemimpin junta dikecualikan daripada mesyuarat sehingga kemajuan dicapai dalam Konsensus Lima Perkara.

"Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk Hun Sen, sebagai pengerusi Asean, berhenti menggunakan strategi secara melulu terhadap kedudukan yang dipersetujui blok itu, dan bekerjasama rapat dengan negara anggota untuk menggesa Min bertanggungjawab terhadap konsensus yang dipersetujui."

Lima perkara itu adalah untuk menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan; untuk Asean menyediakan bantuan kepada Myanmar; duta khas Asean yang dilantik untuk menjalankan rundingan dan utusan itu dibenarkan melawat negara itu.