Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Marina: Dr M telah berinteraksi dengan keluarga, masih jalani rawatan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kini telah berinteraksi dengan ahli keluarga, menurut anak perempuannya Marina Mahathir.

Pada 20 Jan lalu, Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk kali ketiga pada bulan ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut melawatnya semalam, dengan pengamal media berkumpul di luar IJN bagi mendapatkan status kesihatannya.

Semalam, Marina berkata bapanya dalam keadaan stabil dan memberikan respon yang baik terhadap rawatan di unit rawatan koronari (CCU).

Dalam kenyataan hari ini, Marina berkata Mahathir masih menjalani rawatan di IJN.

"Kami sekeluarga telah berinteraksi dengannya," katanya.

Marina Mahathir

Marina bagi pihak keluarga turut menyuarakan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan majlis doa selamat serta mendoakan kesihatan bapanya.

"Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih.

"Pihak IJN dan keluarga Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa," katanya lagi.

Mahathir, 96, pada bulan lalu dimasukkan selama seminggu di IJN bagi pemeriksaan kesihatan penuh dan pemerhatian susulan.

Dia sekali lagi dimasukkan ke institut itu untuk prosedur elektif pada 7 Januari dan keluar pada 13 Januari.