Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kalah 2 PRN, PH perlu kembali pada gagasan 'khemah besar' - Mat Sabu

Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa PH untuk kembali kepada gagasan ‘khemah besar’ yang digunakan sewaktu menghadapi PRU14, sehingga membawa kepada kemenangan mereka.

Menyentuh mengenai PRN Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi, Mohamad menyorot kekalahan besar PH dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini yang menurutnya ekoran hilangnya sifat keterbukaan dalam parti komponen PH.

“Kegagalan kita dalam PRN Melaka dan Sarawak pastinya banyak mengajar kita. Amanah dan PH mesti berani membuat perubahan demi kesinambungan perjuangan kita.

“Gagasan 'khemah besar' atau 'big tent' tidak wajar hanya slogan.

“Idea dan pendekatan baik ini perlukan pengisian dan pelan tindakan yang berkesan. Hakikatnya, gagasan dan pendekatan inilah yang menjayakan usaha kita semasa PRU14.

“Malangnya kita telah hilang sifat keterbukaan dan kesanggupan memperbanyakkan rakan, dan inilah sebabnya prestasi yang buruk PRN Melaka dan Sarawak,” kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu hari ini.

Dia berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada konvensyen nasional 2021 Amanah yang telah ditangguh sejak Disember lalu ekoran banjir yang melanda negara.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan DUN Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

PRN Johor mula diperkatakan berikutan kematian Adun Kempas Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan Umno hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Mat Sabu berkata dengan PRN Johor yang akan diadakan, sudah tiba masanya bagi PH menggunakan strategi baru untuk meraih semula sokongan pengundi.

Menurutnya, ia bakal menjadi petunjuk kepada gabungan itu dalam menghadapi PRU15.

“Walaupun kita tidak setuju PRN Johor ini diadakan, namun oleh kerana kita terpaksa menghadapinya, maka biarlah kita memanfaatkannya untuk merangka dan menguji strategi dan pendekatan yang lebih mampu menjamin kemenangan.

“Dengan itu, membantu kita untuk menetapkan strategi dan pendekatan yang berkesan untuk hadapi PRU15,” katanya lagi.